Musibah banjir di Taman Seri Muda, Shah Alam bukan tamat selepas keringnya air banjir tetapi selepas sebulan setengah berlalu penduduk di sini masih lagi terasa kesannya.
Ramai antara mangsanya masih trauma dengan banjir ini ekoran kesan yang menimpa mereka selepas banjir surut dan kerosakan kereta yang menjadi kenderaan untuk mereka bergerak menjadi masalah utama.
“Ramai yang dapat dikesan masih trauma apabila dilihat termenung seorang diri ketika datang ke masjid atau surau,” kata salah seorang penduduk Taman Seri Muda.
Menurut beliau, kesan banjir ini sangat besar kerana ia tidak pernah berlaku dalam sepanjang hidup mereka di kawasan perumahan berkenaan.
“Saya baru sahaja dapat hidup kan kereta Honda Jezz saya selepas lebih sebulan. Nasib baik kawan bagi saya pinjam motor dia, bolehlah bergerak ke sana sini,” cerita Mohamad Abdul Rahman, 64 tahun.
Mohamad membelanjakan RM10,000 untuk menghidupkan injin keretanya sahaja, belum lagi membaiki eksasoris dalaman keretanya.
“Habislah RM20,000,” cerita beliau ketika Malaysia Dateline bertemu dengan beliau di kawasan perumahannya.
Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Selangor masing-masing hanya memberikan bantuan RM1,000 untuk setiap keluarga, terlalu sedikit untuk membantu mereka membaiki kereta yang rosak.
Beliau juga bercerita bagaimana satu keluarga peminat kereta Honda habis lebih RM50,000 untuk memulihkan tiga buah kereta Honda di rumah mereka.
“Ayah, mak dan anak semuanya peminat kereta Honda. Ketiga-tiga kereta mereka tenggelam dalam banjir ini dan habis rosak,” cerita beliau yang merupakan seorang jurunikah itu.
Ketika rumah beliau dilanda banjir pada 18 Disember lalu, Mohamad berada di rumah saudaranya di Kedah.
Selepas tiga hari apabila banjir surut, barulah beliau boleh pulang ke rumahnya di Taman Seri Muda.
“Rumah saya bahagian bawah habis semua tenggelam. Buku yang paling saya sayang habis rosak. Barang-barang dan peralatan di dapur jangan kiralah, habis semuanya,” cerita beliau.
Banjir yang melanda Selangor dianggap antara terburuk berlaku dalam tempoh tujuh tahun ini manakala untuk Taman Seri Muda, ia pertama kali berlaku sejak taman perumahan itu dibina.
Hujan berterusan selama lebih 24 jam dijadikan sebab kenapa banjir ini berlaku.