Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, Tun Arifin Zakaria dilapor meninggalkan Istana Negara pada pukul 12.10 tengah hari tadi selepas lebih sejam menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Bekas Ketua Hakim Negara berkenaan sebelum itu tiba di Istana Negara pada pukul 9.45 pagi bagi menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Arifin yang menaiki kenderaan jenis Proton Perdana berwarna hitam terus berlalu melalui pintu 2 tanpa memberi sebarang kenyataan kepada pengamal media, lapor Astro Awani.
Minggu lalu, seramai 15 pemimpin tertinggi parti termasuk pembangkang dipanggil menghadap Seri Paduka ketika negara dalam situasi penularan Covid-19 yang membimbangkan.
Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dianggotai 19 ahli yang antaranya merangkumi pakar-pakar kesihatan awam, pendidikan, pentadbiran awam dan undang-undang, wakil parti politik dan mufti.
Penubuhan jawatankuasa itu mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa Kuasa Perlu) 2021 dengan tujuan untuk menasihati Agong berhubung penamatan atau pelanjutan penguatkuasaan darurat.