Selepas lebih seminggu letak jawatan, Nurul Izzah sertai semula PAC

Selepas lebih seminggu letak jawatan, Nurul Izzah sertai semula PAC

Selepas lebih seminggu meletakkan jawatan sebagai ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Nurul Izzah Anwar akhirnya bersetuju untuk menganggotai semula jawatankuasa tersebut.

Ahli Parlimen Permatang Pauh berbuat demikian selepas berbincang dengan Ketua Whip kerajaan, Datuk Johari Abdul dan mendapat kelulusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof.

Keputusan itu diambil, jelasnya, setelah mengambil kira agenda reformasi akan diteruskan menerusi kepemimpinan baharu PAC.

“Alhamdulillah. Struktur jawatankuasa PAC yang membolehkan semak imbang berlangsung, adalah amat penting buat kepentingan negara.

“Saya bersetuju menganggotai PAC semula setelah berbincang dengan Ketua Whip dan mendapat kelulusan Speaker (Yang Dipertua Dewan Rakyat),” dipetik dari Utusan Online hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap agenda reformasi sentiasa menjadi keutamaan dalam kerajaan untuk memberikan khidmat demi rakyat dan negara.

Sebelum ini, bekas Naib Presiden PKR itu meletakkan jawatan sebagai ahli PAC disebabkan tidak berpuas hati dengan pemilihan kepemimpinan jawatankuasa tersebut.

Tindakan Nurul Izzah itu susulan peryertaan Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee ke dalam Bersatu di bawah kepemimpinan Perdana Menteri selepas meninggalkan Umno.