Malaysia Dateline

Selepas lebih setahun dilantik Ahli MPT Bersatu, status Zuraida dibincang

Kedudukan Zuraida Kamaruddin sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sejak September 2020 sedang diputuskan susulan didakwa terlibat dengan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Ahli MPT Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman, lapor Malaysiakini, berkata, hal berkaitan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu telah dibangkitkan dalam mesyuarat parti itu pada 25 Januari lalu.

Bagaimanapun, jelasnya, tiada sebarang keputusan dibuat pada masa ini sementara menunggu siasatan lanjut oleh parti.

PBM yang dahulunya dikenali sebagai Parti Pekerja Sarawak (SWP) diluluskan pertukaran namanya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kepada PBM dan perlembagaan baharunya pada 27 Oktober 2020.

Parti politik baharu yang dikaitkan dengan bekas pemimpin PKR kini diterajui Larry Sng Wei Shien yang juga Ahli Parlimen Julau, Sarawak.

Menurut Faiz, status Zuraida dalam Bersatu disentuh semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu memandangkan bekas Naib Presiden PKR itu dilihat mempunyai penglibatan dalam pembentukan PBM, sama ada secara langsung atau tidak.

“Sebab, boleh dikatakan semua pengikutnya menyertai PBM, dan dia sendiri juga tidak menyatakan pendiriannya mengenai perkara itu sama ada secara terbuka atau kepada MPT.

“Tetapi ia hanya dibincangkan. Belum ada keputusan konkrit lagi. Perkara itu masih dalam siasatan,” kata Faiz dipetik Malaysiakini.

Keengganan Zuraida sebelum ini mengisytihar sokongan kepada PBM mengundang persoalan banyak pihak memandangkan Larry Sng sudah mengesahkan 53,000 ahli partinya dianggotai Penggerak Komuniti Negara (PKN) yang dinaungi Zuraida.

Untuk rekod, Larry merupakan bekas Pengerusi PKR Sarawak.

Zuraida dan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta kumpulannya mengumumkan penyertaan ke dalam Bersatu pada Ogos 2020.

Kedua-duanya dikatakan menjadi watak penting dalam peristiwa keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah Langkah Sheraton.