Malaysia Dateline

Selepas Leissner dakwa diugut Rohana, SPRM buat permohonan ke DOJ AS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat permohonan bagi mendapatkan maklumat daripada Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) susulan kenyataan bekas eksekutif bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner.

Lapor BH yang memetik sumber SPRM, maklumat itu bagi membantu siasatan yang dijalankan oleh SPRM terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro Malaysia Holdings Bhd, Datuk Rohana Rozhan.

Ini selepas Leissner dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendakwa diugut Rohana yang dikatakan pernah mempunyai hubungan dengannya untuk membelikannya sebuah rumah bernilai AS$10 juta (RM42 juta) di London.

Beliau mengeluarkan dakwaan itu ketika memberi keterangan di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, New York, AS dalam perbicaraan kes rasuah bekas rakan sekerjanya, Roger Ng berkait 1Malaysia Development Berhad (1MDB) baru-baru ini.

Sumber SPRM juga dilapor memaklumkan, satu permohonan akan dikemukakan kepada DOJ AS bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai dakwaan Leissner itu.

Pada 24 Februari lalu, siasatan SPRM terhadap Rohana berjalan selama lebih lapan jam sehingga pukul 6 petang.

Dia dipanggil bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

Ekoran siasatan yang dijalankan, SPRM mengeluarkan perintah pembekuan aset dan akaun bank milik Rohana mengikut Seksyen 44 AMLA 2001.

Perintah pembekuan itu sekali gus melarang Rohana daripada melakukan sebarang transaksi membabitkan rumah dan akaun bank miliknya di United Kingdom (UK).