Malaysia Dateline

Selepas Mahathir tiada, parti pun tiada, kata ulama Pas

Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak Pas Pusat, Mokhtar Senik menjangkakan hayat parti baharu yang ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tidak lama.

Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berkenaan, kelangsungan parti baharu yang belum diberikan nama rasmi itu bergantung pada hayat Dr Mahathir.

“Saya tidak nampak parti tajaan Tun (Dr Mahathir) akan mampu pergi jauh. Pada saya hayat parti baru itu bergantung kepada hayat Tun.

“Selepas Tun tiada parti itu juga akan tiada,” katanya di Facebook.

Pada 8 Ogos lalu, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi mengumumkan penubuhan parti baharu yang tidak terikat atau menyokong Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, parti baharu itu akan mendukung dasar Bersatu dahulu, selain akan bertanding sebagai blok bebas dalam PRU akan datang.

Dr Mahathir memaklumkan dirinya akan menjadi pengerusi manakala, Ahli Parlimen Jerlun yang juga anaknya, Datuk Seri Mukhriz akan dilantik sebagai Presiden parti baharu.