Sebanyak 50 ekor lembu ditemui tidak sedarkan diri dengan keadaan mulut berbuih, organ keluar darah dan keadaan dalaman yang tidak normal.
Menyayat hati, lembu-lembu yang mati di kawasan kebun durian di Machap Umboo, Alor Gajah itu dipercayai diracun.
Akibat kejadian itu, dua beradik penternak lembu terpaksa berputih mata dengan kerugian mencecah hampir RM200,000.
Sehari sebelum kejadian, haiwan ternakan itu tidak dimasukkan ke dalam kandang oleh pemiliknya kerana khuatir akan hujan lebat.
Lembu-lembu itu dibiarkan berkeliaran dalam ladang kelapa sawit sebelum merempuh masuk ke kawasan kebun durian berdekatan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, beliau menerima satu laporan kes khianat dibuat oleh penternak itu.
“Pengadu menyedari kejadian itu selepas pekerjanya datang ke rumah memaklumkan dua ekor lembu ternakan keluarganya telah mati di kebun berhampiran.
“Pengadu dan adik lelakinya terus ke kebun tersebut dan mendapati 50 ekor lembu ternakan mereka mati di kawasan tanaman berkenaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, namun setakat ini tiada tangkapan dibuat pihak polis.
Baca juga: Lengkap berpelamin, wanita kongsi tips kahwin dengan belanja bawah RM1,000