Malaysia Dateline

Selepas menang undi percaya, rakyat harap Kerajaan Perpaduan tumpu pulih ekonomi, tangani kos sara hidup

Tidak syak lagi keabsahan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat dan segalanya terbukti pada sidang Parlimen yang berlangsung semalam.

Malah, rakyat dilihat turut mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dan berharap ekonomi Malaysia semakin pulih serta nasib rakyat lebih terbela.

Hal tersebut disuarakan orang ramai di Facebook rasmi Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun dalam hantaran mengenai usul undi percaya itu.

“Alhamdulillah, syabas Datuk Seri, sekarang sudah masa untuk fokus gerak kerja memulih ekonomi serta menangani kos sara hidup rakyat. Segala gerak kerja ahli Kabinet pimpinan DSAI akan dinilai oleh rakyat.

“Tahniah DSAI sebab keabsahan telah terbukti dan sudah tiba detiknya untuk terus fokus kepada pemulihan ekonomi negara dan memastikan nasib rakyat terbela dan terpelihara.

“Harap DSAI dapat membangun negara ke arah maju dan membantu semua rakyat B40, M40 , T20 dan lain-lain lagi serta tentangan daripada pembangkang untuk DSAI dihadapi dengan kesabaran dan fokus pada kemajuan negara dan kemakmuran semua golongan rakyat,” demikian antara pendapat orang ramai yang membanjiri ruangan komentar dalam hantaran di Facebook Anwar.

Dalam masa sama, Perdana Menteri juga dipuji kerana membangkitkan isu banjir besar di Pantai Timur pada perbahasan semalam, malah ada yang memohon untuk bantuan disegerakan.

“Tahniah DSAI, saya perhati dalam Parlimen, hanya Datuk Seri yang bahas isu banjir di Pantai Timur dan yang sepatutnya bahas hanya diam membisu. Semoga kerajaan yang ada sekarang kekal utuh, buat yang terbaik DSAI,” komen seorang wanita.

Rakyat juga berharap agar agensi berkaitan di bawah pentadbiran kerajaan diterajui Anwar dapat menyediakan sistem tadahan hujan untuk mengatasi masalah banjir dalam jangka panjang.

Pengguna tersebut memohon untuk menambah terusan dan perbaiki sistem saliran negara, malah menyatakan bahawa rakyat Malaysia tidak mahu pembangunan bangunan pencakar dan mengharap kerajaan kurangkan tambakan laut mahupun sungai yang bertujuan membina bangunan.

Usul undi percaya buat Anwar sebagai Perdana Menteri dilihat sebagai satu tamparan hebat buat pembangkang setelah kalah dalam pemilihan Speaker dan Timbalan Speaker.

Undi bagi pelantikan Speaker Dewan Rakyat mendapat sokongan amat dengan 147 undi menyokong dan 74 membangkang.

“Tiada seorang pun wakil dari Perikatan Nasional yang berani bangun untuk minta undi belah bahagi, mungkin terkena tamparan hebat di kiri dan kanan apabila kalah dalam pemilihan Speaker dan Timbalan Speaker,” komen Keadilan Cabang Kemaman di hantaran tersebut.

Tidak hanya itu, rakyat Malaysia memuji tindakan Anwar yang mahukan usul undi percaya dibuat dan dapat membuktikan dirinya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang terbaru.

“Tiba masa untuk Anwar dan pasukan untuk buktikan profesionalisma, dedikasi, kreatif dan keprihatinan rakyat serta aktifkan segala aspek ekonomi dengan sifarkan gelandangan, miskin dan miskin tegar.

“Ikhtiarkan gaji nasional buat setiap keluarga Malaysia minima RM1,500 sebulan amat membantu dan bukan one off yang tak akan menjamin kelangsungan hidup sesebuah keluarga yang menerima gaji rendah.

“Semoga Anwar melakarkan kisah dan sejarah sebagai Menteri Kewangan juga Perdana Menteri terbaik dunia serta dapat bantu mangsa-mangsa banjir terkini Terengganu dan Kelantan yang amat terkesan juga yang telah kehilangan tersayang dalam tempoh singkat banjir berlaku,” komen Shermann.

Dapat dilihat Anwar bukan sekadar disokong Ahli Parlimen malah turut mendapat sokongan rakyat untuk menjadi Perdana Menteri ke-10, malah ramai yang mengharapkan masalah rakyat dapat dikurangkan dibawah pimpinan Anwar dan Kerajaan Perpaduan.

Usul undi percaya hanya pernah dibuat dua kali sebelum ini, iaitu pada peringkat Persekutuan tahun 1976 untuk Tun Hussein Onn berikutan kematian Tun Abdul Razak dan ketika pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.