Malaysia Dateline

Selepas menempuh prosedur ketat, 11 pelajar USIM selamat tiba di kampung halaman

Seramai 11 pelajar perubatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Kampus Pandan Indah selamat tiba di kampung halaman masing-masing di Kedah dan Pulau Pinang pada pagi tadi.

Mereka merupakan kumpulan pertama pelajar USIM yang menjadi sebahagian daripada 790 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya yang menyertai penghantaran sulung pelajar IPT pulang ke tiga buah negeri di utara tanah air pada malam tadi.

Penuntut Tahun Pertama Perubatan dan Surgeri, Nurul Ilham Huda Redzuan, 19, berkata, beliau tidak sabar dan rindu untuk menikmati masakan emaknya iaitu masak lemak rebung sebagai juadah berbuka puasa.

“Saya amat gembira bila lihat ayah telah sedia menunggu di IPD untuk membawa saya pulang.

“Terima kasih kepada kerajaan dan semua pihak yang bertungkus-lumus menguruskan perjalanan kami pulang dengan selamat dan kami sedar ia buka sesuatu yang mudah,” ujarnya memetik kenyataan Pusat Komunikasi Strategik USIM hari ini.

Nurul Ilham selamat tiba di rumahnya di Bandar Perdana Seksyen 8, Sungai Petani, Kedah setelah dijemput ayahnya sebaik sahaja bas yang membawa para pelajar ini selamat tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kedah pada jam 5.20 pagi tadi.

Beliau memberitahu sebelum mereka bertolak dari Kampus USIM Pandan Indah, setiap pelajar melalui saringan terakhir yang ketat oleh petugas kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Keadaan kesihatan mereka dipastikan dalam keadaan baik dan segala dokumen perjalanan yang wajib dibawa ada bersama dan lengkap diisi.

“Kami diberikan taklimat keselamatan terakhir oleh PDRM sebelum dibenarkan menaiki bas dan bertolak pada jam 11.30 malam tadi,” kata Nurul Ilham.

Sharifah Nahidhah dijemput ayahnya, Syed Ibrahim Syed Salim di IPD Kuala Muda untuk pulang ke Sungai Petani.

Bagi penuntut Tahun Empat Perubatan USIM, Sharifah Nahidhah Syed Ibrahim, 22, yang turut menaiki bas yang sama ke IPD Kuala Muda, beliau mengucapkan rasa syukur kerana doa beliau dan rakan-rakannya untuk dapat pulang ke kampung setelah hampir dua bulan terkandas di universiti termakbul.

“Ibu bapa pastinya amat gembira kerana saya satu-satunya anak mereka yang tidak dapat pulang apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Tapi kini saya sudah ada di depan mata mereka. Terasa sedih juga kenangkan masih ramai kawan sepengajian yang terkandas di Kolej Kediaman dan berharap mereka juga dapat pulang sedikit masa lagi,” katanya.

Berkongsi prosedur sebelum menaiki bas, Sharifah Nahidhah berkata, pelajar perlu melengkapkan borang pengisytiharan kesihatan yang disahkan oleh Pegawai Perubatan dengan memuat turun aplikasi MySejahtera di telefon bimbit selain memiliki surat kebenaran pergerakan pulang dari Universiti.

Beliau dijemput oleh ayahnya untuk pulang ke rumahnya di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani.