Malaysia Dateline

Selepas mengaku langgar SOP, polis akan panggil Najib

Susulan selepas Datuk Seri Najib Tun Razak mengaku telah melanggar SOP ketika memasuki sebuah restoran di Jalan Bukit Bintang, polis akan menjalankan siasatan berhubung pelanggaran itu.

Najib mengaku tidak melakukan imbasan suhu dan tidak mendaftar MySejahtera ketika masuk ke restoran berkenaan.

Tularnya video Najib itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah akan menjalankan siasatan terhadap Najib yang melanggar SOP PKPB.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021.

“Semua individu yang terbabit dalam kes ini akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kertas siasatan berhubung perkara itu akan diserahkan ke pejabat Pendakwa Raya sebaik siasatan selesai dijalankan.

Terdahulu, satu video berdurasi satu minit 39 saat menunjukkan Najib dilihat masuk ke restoran berkenaan dengan tidak melakukan imbasan suhu serta mendaftar MySejahtera tular di media sosial.

Malah, Najib turut memuat naik kenyataan berhubung perkara itu di Facebook semalam, dengan mengaku kesilapan apabila tidak mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera walaupun pegawainya sudah berbuat demikian.

“Saya minta pihak berkuasa keluarkan saman terhadap saya atas kesilapan tidak sengaja ini.

“Saya akan membayar saman atas kesilapan ini secara sukarela. Tidak ada ‘double standard’ dalam istilah saya,” katanya.