Selepas pecahkan botol arak, Jamal dakwa penahanannya ‘keterlaluan’

GAMBAR FAIL… Jamal ketika ditahan polis di KLIA Sepang beberapa tahun lalu.

Ekoran aksi keterlaluannya memecahkan 100 botol arak di hadapan pintu pagar Bangunan SUK, Shah Alam semalam, ketua kumpulan baju merah yang juga ketua bahagian Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos ditangkap polis awal pagi tadi.

Menurut Jamal dalam satu mesej teks, beliau telah dikepung dan ditangkap pihak polis di Sekinchan sebaik selesai mesyuarat Umno bahagian.

Menyifatkan tindakan polis itu sebagai ‘keterlaluan’, Jamal memaklumkan sedang dalam perjalanan untuk di bawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Shah Alam.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat mengesahkan bahawa Jamal dan tujuh lagi lelaki lain ditahan di sekitar Sekinchan kira-kira jam 1.45 pagi tadi.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu menyertai satu perhimpunan haram dan dibaca bersama Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kemudaratan awam.

Menurutnya, polis akan memohon perintah reman ke atas kesemua mereka yang ditahan di Mahkamah Shah Alam pagi ini.

Pagi semalam, Jamal telah membawa beberapa peti minuman keras dan memecahkannya dengan tukul besi di hadapan bangunan itu, sebagai membantah penganjuran ‘pesta arak’ di Selangor.

Beliau turut menghamburkan kata-kata kesat kepada menteri besar Datuk Seri Azmin Ali yang didakwa menggalakkan rakyat negeri Selangor untuk berpesta arak.

“Batalkan saja pesta arak, buat apa tangguh-tangguh lagi,” kata Jamal seraya menghayunkan tukul ke kotak-kotak yang mengandungi botol arak.

Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung insiden itu dan akan menyiasat kes itu di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana berhimpun secara haram.

Jika didapati bersalah, Jamal berdepan dengan hukuman penjara enam bulan, atau denda, atau kedua-duanya.

Tidak seperti Melaka dan Johor yang diperintah BN, kerajaan negeri Selangor tidak menganjurkan Oktoberfest, pesta memperaga arak yang dianjurkan sejak beberapa tahun lalu.

Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagaimanapun menerima permohonan untuk mengadakan pesta makanan dan minuman Jerman di sebuah pasaraya di Klang namun keputusan berhubung penganjuran itu bergantung kepada kelulusan polis.

CATEGORIES