Malaysia Dateline

Selepas Menteri Agama, Tok Pa pula dijangkiti Covid-19

Tok Pa atau nama sebenarnya Datuk Seri Mustapa Mohamed disahkan positif Covid-19 selepas mendapat keputusan ujian saringan malam tadi.

Hal berkaitan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu dimaklumkan dalam satu kenyataan media Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Pada 5 Oktober tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan positif Covid-19.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan tersebut sebelum itu dilihat ingkar prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk mentahnik sepasang bayi kembar.

Dr Zulkifli kemudiannya dibenarkan keluar dari wad di sebuah hospital di Seremban pada 14 Oktober lalu.

Tok Pa yang juga Ahli Parlimen Jeli telah menjalani saringan Covid-19 sejurus tiba di Kota Bharu dari Kuala Lumpur pada pagi semalam.

“Beliau telah dimasukkan ke wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan pada pukul 10.30 malam tadi untuk pemantauan dan keadaannya stabil.

“Pada 1 Januari 2021 beliau telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan keputusannya adalah negatif,” jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, Mustapa, 71, yang meninggalkan Umno selepas lebih 40 tahun bersama dalam parti tersebut memohon maaf di atas kesulitan yang timbul.

“Mustapa memohon maaf di atas kesulitan yang timbul akibat daripada perkara ini dan memohon agar semua pihak berdoa kepada Allah SWT memudahkan urusan kita semua,” jelas kenyataan itu lagi.