Malaysia Dateline

Selepas Najib dan Rosmah, lensa tertumpu pada Abdul Azeez – MP Baling kemuka lagi representasi batal 9 pertuduhan

Selepas perhatian rakyat Malaysia terarah kepada hukuman mahkamah yang dijatuhkan kepada Najib dan Rosmah, lensa pada masa ini tertumpu pada 9 pertuduhan yang dihadapi Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu sekali lagi mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) selepas gagal membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Rayuan.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim berkata representasi terbaharu itu dihantar pada 5 September lalu, hari sama Mahkamah Rayuan menolak permohonan Azeez untuk membatalkan sembilan pertuduhan dihadapinya.

“Representasi itu telah diterima oleh pendakwaan pada 5 September tetapi masih belum dibawa ke perhatian Peguam Negara.

“Walaupun isu-isu yang dikemukakan dalam representasi itu sama seperti yang terkandung dalam representasi terdahulu, pihaknya perlu mendapatkan arahan daripada Peguam Negara berhubung representasi tersebut,” katanya dipetik BH ketika sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi hari ini.

Untuk rekod, Azeez, 56, yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) menjadi wakil rakyat Parlimen Baling sudah tiga penggal sejak 2008.

Abdul Azeez dalam sidang Dewan Rakyat.

Mahkamah menetapkan 23 September ini untuk sebutan kes bagi mengetahui status representasi itu dan akan menetapkan tarikh perbicaraan baharu jika representasi itu ditolak.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Azeez ketika ditemui media di luar mahkamah memberitahu pihaknya telah mengemukakan representasi tersebut buat kali kelima.

Azeez didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan enam pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM972,414.60 berhubung projek jalan raya di Perak serta Kedah.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan ayah kepada empat anak itu di lima buah bank di Kuala Lumpur antara 6 September 2010 hingga 10 April 2018.

Azeez dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 28(1)(c) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Ketua Umno Bahagian Baling itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Sekiranya sabit kesalahan, Azeez boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit, yang mana lebih tinggi.

Baca juga Mujahid cabar Abdul Azeez debat isu Tabung Haji

Baca juga Pendedahan di luar jangkaan, Youtuber sendiri tak sangka pelakon remaja mahu kongsi kisah tersebut