Malaysia Dateline

Selepas Noraini, Rahman Dahlan pula letak jawatan

Susulan peletakan jawatan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad hari ini Datuk Seri Rahman Dahlan pula mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah.

Katanya, ia selaras keputusan yang telah diputuskan di dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 3 Ogos 2021.

“Saya, sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno turut patuh dan setia atas ketetapan parti ini.

“Maka, saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah dengan serta merta,” katanya.

Tambahan katanya, Umno adalah sebuah parti perjuangan yang mendukung titah YDP Agong sebagai Raja Berpelembagaan seperti yang termaktub di dalam asas dan tujuan Umno mengikut Fasal 3.

“Akhir kata, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh kakitangan Universiti Malaysia Sabah kerana telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang perkhidmatan saya di Universiti tersebut.

“Semoga kita semua berada di dalam lindungan Allah S.W.T. Demi agama, bangsa dan tanahair. Sekian. Terima Kasih,” kata beliau.

Semenjak MKT Umno memutuskan tidak lagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional dan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin sebagai Perdana Menteri beberapa pimpinan parti itu telah meletakkan jawatan dalam kerajaan.

Ia telah dimulakan oleh bekas Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai jemaah menteri Perikatan Nasional (PN) pada Selasa.