Malaysia Dateline

Selepas Pantai Timur, giliran Kedah pula diramal hujan berterusan hingga Rabu

Pengarah Meteorologi negeri, Muhammad Khalil Abdul Aziz, berkata daerah terbabit adalah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, pokok Sena, padang Terap Yan, Pendang, Sik dan Baling.

Menurutnya, selain itu daerah Kuala Muda dan Kulim-Bandar Baharu pula, hanya amaran hujan berterusan dijangka sehingga 21 Disember ini.

“Daripada analisis model cuaca luruan monsun yang sedang berlaku ini dijangka berterusan sehingga 24 Disember nanti.

“Keadaan ini berpotensi membawa angin kencang, ombak besar serta hujan di barat dan timur Semenanjung,” dipetik BH.

Beliau berkata, tiada amaran dikeluarkan setakat ini untuk amaran laut sebelah barat Semenanjung iaitu perairan Selat Melaka utara dan Phuket.

“Maksudnya angin itu sekitar 20 hingga 30 kilometer sejam dan ombak setinggi satu hingga 1.5 meter saja,” jelasnya.

Mengikut pemerhatian pihaknya, Muhammad Khalil menjangkakan cuaca dijangkakan akan bertambah baik.

Sementara itu, laman sosial popular tempatan berkaitan isu geografi, MatGeo berkata, intensiti hujan untuk 12 jam ke depan menumpu di pedalaman Kedah terutama Sik dan di pedalaman wilayah Yala, Selatan Thai.

“Ini boleh memberi ancaman banjir di kawasan rendah sepanjang Sungai Muda dan Sungai Ketil serta Kubang Pasu,” katanya.

Baca juga ‘Rumah tenggelam paras dada, hujan lebat luar biasa, orang kampung ramai terperangkap’