Selepas Pas akui tersilap susun strategi mengakibatkan BN tumbang

Ahmad Lutfi Othman Saya tidak dengar sendiri, termasuk melalui rakaman, apa yang dilafazkan Presiden Pas, Ustaz Abdul Hadi Awang, semasa merasmikan muktamar tahunan Dewan Muslimat parti itu, di Gambang, Pahang, baru-baru ini.

Daripada laporan media, ternyata ucapan yang menarik perhatian umum itu bukan sesuatu yang pelik, malah langsung tidak mengejutkan. Temanya sudah diulang-ulang dan selalu ditekankan terutama apabila nenyentuh keputusan PRU14. Kesalahan mahu dialihkan kepada majoriti pengundi yang berani itu.

Selain menyalahkan pengundi muda yang menyokong Pakatan Harapan (PH) ekoran kedangkalan ilmu politik sepertimana dakwaannya kerana tidak membaca kitab dan merujuk media sosial semata-mata, sekali gus menyebabkan Umno tumbang, Ustaz Hadi kerap mengumpamakan tindakan itu bagai marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Terserlah kekecewaannya apabila BN berjaya ditumbangkan, dan lebih ralat lagi apabila kerajaan korup itu digantikan dengan PH di bawah teraju Dr Mahathir Mohamad, orang tua 93 tahun yang dikatakan sepatutnya menghabiskan masa di atas tikar sejadah sahaja,

Berkali-kali juga ditegaskan oleh Presiden Pas itu bahawa hakikat kekalahan Umno selepas 61 tahun memerintah merupakan satu tragedi kepada umat Islam dan orang Melayu negara ini. Ia disifatkan daripada mudarat kecil kepada mudarat lebih besar. Rata-rata penyokong Pas juga berpendapat, Malaysia di bawah PH lebih teruk keadaannya berbanding di era BN, khususnya dari segi kepentingan Islam dan survival Melayu.

Januari lalu, semasa berceramah di Felda Sungai Koyan, dalam kempen menyokong BN pada PRK Cameron Highlands, beliau berkata, “Kita menyaksikan PRU14 menjadi pukulan dahsyat kepada umat Islam di Malaysia. Tidak semena-mena, umat Islam yang menjadi majoriti besar di negara ini, menjadi tulang belakang politik Malaysia, memilih kerajaan yang didominasi bukan Islam. Sangat malang bagi mereka.”

Walau bagaimanapun, Ustaz Hadi mengakui, Pas juga sebenarnya tidak sehaluan dengan BN namun menganggap menumbangkan gabungan tersebut pada PRU14 adalah langkah yang silap.

Timbul persoalan, apa sebenarnya motif Pas meletakkan begitu ramai calonnya menentang BN, yang menghanguskan jutaan ringgit jika keputusan pilihan raya yang merehatkan Umno-BN itu disifatkan satu kesilapan besar?

Namun jika diteliti secara mendalan, sikap dan pendirian Pas ini, selaras dengan keputusan parti itu yang awal-awal lagi menolak kerjasama PH, sebaliknya mengambil pendekatan taktikal berbaik-baik dengan BN dalam PRU14. Pertandingan tiga penjuru hanyalah strategi – yang kemudiannya diakui Najib Razak sendiri sebagai memakan diri susulan terpukau dengan hasil PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar – untuk mengekalkan kuasa BN dan memecahkan undi tradisi pembangkang waktu itu.

Umum percaya, jika BN dan PH masing-masing tidak cukup bilangan kerusi untuk mencapai majoriti mudah pada malam 9 Mei 2018 itu, Pas tidak ragu-ragu lagi akan “berlari” bagi membentuk kerajaan bersama BN. Maka, satu keputusan tepat apabila PH menyertai PRU14 tanpa persefahaman dengan Pas walaupun siri rundingan telah dijalankan sebelumnya. Maka risiko “pengkhianatan” pada saat genting dapat dielakkan sama sekali.

Apa pun, kita menghormati pilihan Pas yang mengambil sikap berbaik-baik dengan Umno sejak awal lagi. Bermula secara sembunyi dan rahsia di sebalik kelambu serta cuba menafikannya habis-habisan, kini semua sudah terserlah. Niat sebenar tidak dapat dirahsiakan. Babak pengakuan Nik Abduh Nik Abd Aziz dan tuduhan kartel dedak Umno oleh menantu Ustaz Hadi mengesahkan lagi mainan di sebalik tabir. Ketika seluruh dunia mengecam amalan kleptokrasi luar biasa Najib, Pas tidak segan silu merapatinya sambil mendiamkan diri terhadap banyak kepincangan dan skandal mega kewangan, termasuk dalam Tabung Haji.

Jelas, pendirian politik Pas bukannya untuk menubuhkan kerajaan baharu menggantikan regim korup Umno-BN, malahan mempertahannya, apabila serangan semasa kempen PRU14 lebih difokuskan kepada Pakatan Harapan. Untuk bergabung atau membentuk kerjasama politik dengan BN secara terbuka, pasti ditentang oleh ahli dan penyokong akar umbi, maka dicari helah bermain wayang pertandingan tiga penjuru, dengan jumlah calon di luar dugaan, iaitu paling ramai dalam sejarah. Majoriti penyokong Pas menjelang PRU14 pasti bangkit membantah jika terbentuk persefahaman di antara parti itu dengan Umno. Ditambah dengan keyakinan bahawa pihak paling beruntung dalam episod pertandingan tiga penjuru adalah BN.

Justeru, sudah boleh diduga, selepas tersalah mengatur strategi, Pas berterusan menyalahkan pengundi, termasuk menuding jari kepada orang muda, yang berani menumbangkan Umno-BN buat pertama kali sejak enam dasawarsa. Dicarilah segala alasan dan sasaran, khususnya dengan menggunakan sentimen agama dan memanipulasi keresahan orang Melayu.

Sekali imbas, pelik juga pendirian Pas, yang mendakwa kononnya tidak sehaluan dengan BN tetapi menganggap satu kesilapan menumbangkan gabungan tersebut. Mungkin itulah yang diimpikan oleh Pas selama ini, sekadar menjadi penasihat kepada kerajaan, dengan harapan BN terus berkuasa. Atau lebih tepat, melengkapi kerajaan sebagai rakan kongsi dengan diberikan beberapa negeri tertentu untuk menerajuinya dan jawatan menteri di peringkat persekutuan. Maknanya sekadar tempelan kepada sebuah sistem yang begitu lama korup dan mengakar kefasadannya.

Kini ternyata, hanya apabila Umno-BN tercabut daripada akar kekuasaan, yang difaktorkan sebahagiannya oleh tekad waja pengundi muda, maka terburailah segala kebejatan dan kemungkaran yang terselindung selama ini. Kantung negara dianggap seperti harta pusaka yang difaraid sang penguasa sewenang-wenangnya. Paling kurang, pemborosan, ketirisan dan salahguna dana awam berjaya dihentikan apabila Umno tumbang. Perbicaraan di mahkamah, antaranya atas kes SRC membabitkan Najib menyerlahkan kebobrokan sistem dan amalan korup mega yang tidak terperi itu. Bayangkan andaikata BN kekal berkuasa melalui faktor king maker Pas, apakah segala kemungkaran ekonomi yang busuk dan hodoh itu terbongkar?

Anak muda yang berang dengan rekod buruk BN itu mungkin kurang berilmu dan tidak berminat untuk menadah kitab, tetapi naluri dan azam politik mereka benar. Kesedaran untuk berubah dan menyelamatkan negara yang hampir bankrap ini betul. Malaysia Baharu yang bebas rasuah, bermaruah, harmoni, adil, telus adalah jawapannya. Penjenayah dan perompak wang rakyat mesti di heret ke muka pengadilan. Reformasi struktur dan institusi harus disegerakan. Proses pembaharuan wajar mengambil tempat.

Negara kini berada di landasan yang tepat apabila tampil berani menamatkan kleptokrasi, menyuburkan demokrasi, memberi ruang untuk bebas bersuara, memerangi rasuah, mempertahan hak rakyat termasuk golongan minoriti, membantu kelompok terpinggir, menjamin setiap peruntukan Perlembagaan. Kitab yang “sikit-sikit” dibaca generasi muda itu memang mempunyai impak positif.

Tentunya ada kelemahan di pihak PH, terutama dalam tempoh “pembersihan” ini, juga kelembapan dalam proses pembaharuan, antaranya disebabkan ketandusan pengalaman mentadbir; dengan itu harus dimantapkan lagi mekanisme semak dan imbang.

Media bebas dan sistem kehakiman yang adil memberi peluang agar segala kritikan dan teguran dapat disalurkan tanpa takut. Seharusnya tiada lagi budaya mengampu dan mengipas. Manakala budaya takut yang selama ini menyerkup golongan intelektual dapat dipecahkan. Minda yang terkongkong dan terbelenggu adalah warisan purba yang mesti ditinggalkan.

Biarkanlah Pas dengan rakan barunya Umno, berusaha mendapatkan kepercayaan rakyat, menawarkan alternatif, mencari strategi baru. Ini negara demokrasi. Ustaz Hadi juga bebas berkempen dan bercita-cita setinggi langit. Masyarakat akan menilai, tidak terkecuali anak muda, termasuk mengenai piagam Umno-Pas yang akan dibentuk nanti. Moga sistem dua gabungan makin dimantapkan. Sementara itu, usah diperkecil upaya minda dan partisipasi politik generasi baru. Malaysia adalah hak bersama untuk kita sumbangkan apa yang terbaik.

Pakatan Harapan pula harus perkukuh kesatuan dan persefahaman. Setiap parti komponen perlu mengelak pertelingkahan. Bibit-bibit sengketa dalam PKR, parti yang paling banyak kerusi Parlimen, wajar segera didamaikan. Obses dengan singgahsana kuasa boleh menghilangkan kewarasan. Berpadalah menyusun ikhtiar. Ketamakan selalu berakhir dengan kekecewaan.