Malaysia Dateline

Selepas Pas menteri agama, profesor UKM minta kaji semula vaksin halal ke tidak

Seorang profesor Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Supyan Hussin meminta golongan agama merujuk badan yang bebas dan tidak terikat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja dalam menentukan kedudukan vaksin samada ia halal atau tidak.

Ini berikutan sebelum ini Majlis Ulama Indonesia (MUI) mendakwa vaksin AstraZeneca yang digunakan oleh rakyat negara ini mempunyai unsur babi dan janin namun boleh digunakan kerana darurat,.

Tulisan beliau ini dibuat beberapa hari selepas pemimpin dari Pas buat pertama kali dalam sejarah dilantik  menjadi menteri yang menjaga hal ehwal agama.

“Silap bila mereka agamawan hanya rujuk “ulamak” KKM dalam semua hal berkaitan dengan vaksin, sepatutnya agamawan rujuk juga badan bebas yang tidak terikat dengan KKM,” kata beliau yang menggunakan nama Hussin Supyan dalam satu tulisan menerusi facebooknya malam tadi, setelah sekian lama rakyat Malaysia menggunakan vaksin ini.

Bagi aktivis Pas yang juga profesor di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan itu, agamawan di Majlis Fatwa kena ada pasukan penyelidik yang bebas dalam menentukan pandangan dan sikap mereka.

“MUI kata vaksin ada unsur babi dan janin. Jadi bila ada dua sumber kata berbeza ..KKM kata tak ada dan MUI kata ada, maka agamawan kena ambil sumber ke 3 atau ke 4.

“Kalau tanya pada KKM sahaja, maka ia diragukan kerana KKM adalah pelaksana. Agamawan kata tanya farmakologi, tapi farmakologi tu pun bawah KKM juga, ada kaitan dengan WHO dan Big Pharma.

“Jadi vaksin suci diragui. Ragui maknaya syubahat. Nabi kata syubahat itu lebih dekat pada yang haram,” kata beliau hari ini selepas Idris Ahmad, Naib Presiden Pas yang juga bekas pelajar UKM dilantik sebagai menteri hal ehwal agama.

Sebelum ini, menteri yang menjaga hal ehwal agama adalah bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Albakri.

Bagi Dr Supyan, agamawan semacam lepas tangan, apabila semua perkara di serah pada KKM kononnya KKM sahaja pakar dalam vaksin di Malaysia.

“Kita hormati agamawan dan pakar tapi biarlah agamawan dan pakar yang jujur dengan ilmu, yang bukan berfikiran sekular, yang tidak ada kaitan dengan pihak pelaksana,” kata beliau.

Beliau juga berkata, adalah tidak wajar agamawan minta dari orang ramai buktikan kalau ada unsur babi dan janin.

“Mereka harus buat kajian sebab mereka ada jentera dan wang untuk buat kajian. Apa guna kerajaan beri peruntukan pada JAKIM,” kata beliau.

Beliau mengingatkan tentang rakyat negara ini yang memakan daging import berpuluh tahun lamanya tanpa pengesahan ia halal atau haram.

“Ingat lagi tak orang Melayu makan daging kotak daging haram selama 40 tahun kerana percaya pada pakar dan pada agamawan kata daging kotak dari luar negara adalah halal?

“Siapa sahkan halal? JAKIM dan pegawai-pegawainya sehingga mengabaikan pemantauan proses daging kotak dari A sampai Z,” kata beliau.

Majlis ulama tertinggi di Indonesia, Majlis Ulama Indonesia (MUI), di laman webnya pada Jumaat 19 Mac 2021 lalu menyatakan bahawa bahawa vaksin AstraZeneca itu ‘haram’ kerana proses pembuatannya menggunakan “trypsin dari pankreas babi”.

Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) Pusat bidang Dakwah dan Ukhuwah, KH M Cholil Nafis, menjelaskan tentang latarbelakang keluarnya fatwa MUI berkaitan AstraZeneca.

KH Muhammad Cholil Nafis menjelaskan fatwa MUI yang mengharamkan vaksin Covid-19 AstraZeneca karena dalam produksinya menggunakan pemanfaatan unsur babi.

Tapi, vaksin tersebut boleh digunakan dalam kondisi tertentu termasuk dalam situasi mendesak.

“Banyak yang tanya soal hukum vaksin AstraZeneca, kok haram tapi boleh? Itulah istilah fiqih Islam bahwa halal itu beda dengan istilah boleh,” ujar Kiai Cholil dalam keterangan tertulis yang diterima Republika.co.id, Ahad (21/3/2021) lalu, lapor Republika, sebuah media dari Indonesia

Menurut Kia Cholil, hukum halal bermakna tidak ada unsur yang diharamkan sama sekali menurut syariat.

Sementara, katanya, jika statusnya boleh, itu belum tentu halal tapi dapat digunakan untuk memenuhi keperluan mendesak dan kadar tertentu dan dalam tempoh yang diperlukankan.

Namun begitu, jurucakap AstraZeneca Indonesia, Rizman Abudaeri, dalam satu kenyataan berkata: “Pada semua tahap proses pengeluaran, vaksin vektor virus ini tidak menggunakan atau bersentuhan dengan produk yang berasal dari babi atau produk haiwan lain.”