Malaysia Dateline

Selepas Pejuang, kerajaan digesa luluskan segera Muda

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menggesa agar kerajaan meluluskan dengan kadar segera pendaftaran.

Setiausaha Agungnya, Amir Abd Hadi berkata, kebebasan berpersatuan adalah hak fundamental yang dijamin oleh Perlembagaan di bawah Perkara 10.

Hak berpersatuan juga, katanya, dinyatakan dalam Perkara 20(1) Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

“Muda ingin sekali lagi menegaskan, seperti yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), supaya reformasi undang-undang dilaksanakan segera bagi meminda Akta Pertubuhan 1966,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas Amir, pindaan tersebut termasuklah tidak memperuntukkan satu tempoh masa bagi meluluskan pendaftaran sesuatu persatuan; memberi kuasa yang terlalu besar kepada Menteri Dalam Negeri dan tidak memberikan sebab kepada penolakan kepada pendaftaran sesuatu persatuan.

Dalam masa sama, beliau berkata, Muda menyambut baik keputusan Jabatan Pendaftaran Negara (ROS) bagi meluluskan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) seperti yang diumumkan hari ini.

“Namun begitu, jangan dilupa bahawa kelulusan ini diberi selepas tempoh masa panjang, yang akhirnya terpaksa dibawa ke mahkamah selepas lebih setahun pendaftaran dihantar.

“Mahkamah pada 25 Jun 2021 memutuskan agar Menteri Dalam Negeri memberikan maklumbalas terhadap pendaftaran Pejuang dalam tempoh 14 hari,” tambah Amir lagi.

Pada 2 Februari lalu, ROS menolak pendaftaran Pejuang dan Muda kerana dianggap tidak mematuhi Akta Pertubuhan 1966

Penolakan itu berlaku selepas ROS membuat semakan terperinci terhadap dokumentasi permohonan pendaftaran Pejuang dan Muda yang mendapati permohonan tersebut tidak teratur berdasarkan Jadual 1 akta tersebut.