Malaysia Dateline

Selepas PEJUANG, permohonan pendaftaran parti MUDA juga ditolak

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menolak pendaftaran parti Ikatan Demokratik Malaysia atau Malaysian United Democratic Alliance (MUDA) yang dipimpin Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

MUDA memaklumkan penolakan tersebut diberitahu semalam melalui e-mel.

Bagaimanapun MUDA mendakwa, tiada alasan yang diberikan berhubung penolakan penubuhan parti itu.

“Penolakan ini dinyatakan selepas hampir empat bulan MUDA menghantar permohonan. MUDA kecewa dengan penolakan JPPM.

“Di pihak MUDA, kami telah memberi kerjasama penuh kepada JPPM dan telah mematuhi segala syarat untuk pendaftaran.

“Oleh itu, tiada sebab kukuh untuk JPPM menolak pendaftaran MUDA,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, MUDA menegaskan, kebebasan berpersatuan dan hak untuk mengambil bahagian dalam proses demokratik negara adalah hak setiap warganegara Malaysia yang termaktub dalam perlembagaan, tetapi hak tersebut telah dinafikan pihak kerajaan.

Mereka juga menganggap ianya adalah usaha jahat kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menghalang MUDA serta penyokongnya daripada mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Langkah ini juga melanggar hak berperlembagaan MUDA untuk membentuk persatuan.

“Kita menuntut kerajaan ini untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang dengan adil, tulus dan bersih dan tidak menggunakan taktik licik dan kotor,” katanya lagi.