Malaysia Dateline

Selepas pengumuman PRU-15, Melaka dilanda banjir kilat

Sebahagian kawasan Ayer Keroh di Melaka telah dilanda banjir kilat tengah malam tadi dua hari selepas pengumuman tarikh-tarikh penting pilihan raya umum ke 15.

Penyandang Adun Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berkata beberapa lokasi dalam kawasannya juga dilanda banjir kilat.

Ini berikutan hujan lebat yang bermula kira-kira jam 6 petang tadi, tambahnya.

“Selesai sahaja program kami di bandar, kami juga turun ke DUN Ayer Keroh bagi meronda kawasan hotspot banjir kilat.

“Seperti yang ternyata dalam post saya pada 8:15pm tadi, beberapa lokasi dalam DUN Ayer Keroh telah berlaku banjir kilat.

“Pasukan saya yang membuat rondaan telah melaporkan semua insiden pokok tumbang dan kerosakan harta benda kepada pihak berkuasa,” katanya pada satu hantaran di Facebook.

Banjir kilat di Air Keroh malam tadi.

MetMalaysia awal malam tadi memberikan amaran hujan lebat dijangka berlaku di keseluruhan Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir ATAU dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” kata MetMalaysia dalam kenyataannya.

Amaran sama turut dikeluarkan di beberapa kawasan di Kedah melibatkan Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.

Sementara itu, di Terengganu melibatkan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang, manakala di Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang).

Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Kedah (Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu).