Selepas PKP, tukang urut buta antara yang paling gembira

Oleh BORHAN AHMAD

Che Mohamad Abdullah, 45, telah dilahirkan sebagai orang kurang upaya. Sejak dari kecil lagi, keupayaan melihat beliau tidak seberapa dan terus merosot semakin beliau meningkat usia.

Akhirnya, beliau tidak boleh melihat langsung dan telinga adalah pengganti mata beliau dalam meneruskan perjalanan hidupnya.

“Orang buta ni, jika bising je habislah dia. Ini kerana, kami gunakan telinga untuk bergerak. Saya hampir masuk bawah perut lori pada satu hari apabila berjalan di tepi jalan yang bising dan mengganggu perjalanan saya,” cerita Che Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Pahang di kalangan rakan-rakannya.

Pekerjaan rasmi Mat Pahang sejak 20 tahun lalu adalah tukang urut. Pada hari biasa beliau bertugas di sebuah pusat urut orang buta di Bukit Bintang.

Pada hari cuti dan hujung minggu beliau bertugas di sekitar Brickfield atau lebih dikenali sebagai Litle India di tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Di kawasan ini, terdapat lebih 20 pusat urut orang buta. Di sinilah juga pusat kegiatan orang buta di bandaraya Kuala Lumpur bahkan juga di negara ini.

Flat Sri Pahang yang terletak di Bangsar, Kuala Lumpur.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyediakan pelbagai kemudahan di kawasan ini terutama kawasan pesiar kaki untuk memudahkan mereka bergerak dari satu tempat ke satu tempat.

Kehidupan Mat Pahang agak senang sebagai tukang urut. Walaupun hanya tinggal dengan menyewa di flat satu bilik milik DBKL di Bangsar bersama isterinya, ia lebih baik dari tinggal di kampungnya di Jerantut, Pahang.

“Sebelum Covid dulu, kami agak senang. Hampir setiap hari saya akan mendapat dua atau tiga pelanggan. Seorang saya akan mendapat RM30 dan kadang-kadang lebih,” cerita beliau sebagai tukang urut.

Namun, sejak Covid-19 melanda negara dua tahun lalu, kehidupan Che Mohamad terumbang-ambing.

“Hari-hari duduk kat rumah sahaja. Bini pun sudah bosan dengan kita. Nak buat kerja lain tak pandai. Nak balik kampung kat Jerantut, tak boleh,” keluh beliau.

Sebagai OKU, Che Mohamad dan isteri sentiasa mendapat beras dan gandum yang diberikan oleh pelbagai NGO apabila mereka tidak boleh keluar dari rumah semasa PKP dikenakan.

“Jadi lepaslah kami nak makan. Tetapi bil-bil macamana,” keluh beliau menceritakan nasibnya sebagai orang kelainan upaya (OKU) berhadapan dengan Covid-19.

Menurut beliau, ada rakan-rakan beliau yang cuba mencari jalan lain untuk menyara kehidupan mereka selain mengurut.

“Ada yang jual kertas tisu. Kerja ni lain sikit. Kalau tukang urut kita kena tunggu je orang datang tetapi kerja jual tisu, kita cari pelanggan.

“Saya pernah juga buat dengan isteri,” kata Che Mohamad.

Ketika ditanya, kenapa tidak menjual barangan lain, kuih muih ke, Che Mohamad spontan menjawab, “Kuih boleh basi, kertas tisu sampai bila-bila tak basi.”

Brickfield adalah tempat tumpuan orang buta di ibu negara. Gambar hiasan.

Mengikut laporan WORLD HEALTH ORGANISATION, terdapat lebih daripada 285 juta OKU Penglihatan di dunia ketika ini.

Daripada jumlah tersebut, hanya lebih kurang 50,000 orang yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Malaysia, dan dipercayai 50,000 lagi belum berdaftar atas sebab-sebab tertentu.

Sejumlah besar daripada mereka hanya mampu mengharapkan belas ehsan ahli keluarga dan orang ramai demi meneruskan hidup.

Satu kenyataan yang amat menyedihkan apabila hanya sejumlah kecil golongan ini sahaja yang mampu berdikari manakala ramai di antara mereka yang tidak mempunyai kemahiran dan terpaksa mengemis atau menjual tisu dari meja ke meja sebagai sumber rezeki.

Che Mohamad adalah antara mereka yang cuba berdikari. Melalui Persatuan Orang Buta (MAB), beliau dilatih sebagai tukang urut sejak lebih 20 tahun lalu.

Menurut Ketua Pengarah Eksekutif MAB George Thomas, sejak PKP dilaksanakan bermula 13 Januari 2020 di beberapa negeri, kebanyakan golongan orang buta yang bekerja sebagai tukang urut hilang punca pendapatan.

Dia berkata daripada 50,000 orang buta di negara ini, kebanyakan yang berada di Lembah Klang bekerja sebagai tukang urut dan ada juga yang bekerja dalam sektor awam dan swasta.

Tambahnya, kira-kira 3,000 hingga 5,000 tukang urut terjejas dengan pelaksanaan PKP.

Apabila kerajaan membenarkan semula Pusat Urut dibuka semula awal bulan ini, Che Mohamad adalah antara orang yang gembira dengan berita ini.

“Lepas dua tahun duduk kat rumah sahaja, saya boleh mula bekerja semula tetapi orang ramai nampaknya masih takut-trakut untuk datang,” kata beliau.

Bagi beliau, perkara yang paling gembira adalah apabila pulang ke rumah dan isteri bertanya, dapat berapa orang hari ini, “kita boleh jawab adalah dua atau tiga orang.

“Bila cakap macam tu, isteri senyum. Tetapi bila kita kata, tak ada, isteripun kelatlah mukanya,” cerita Che Mohamad yang sangat sayang kepada isterinya yang boleh melihat seperti biasa walaupun belum dikurniakan anak selepas lebih 15 tahun berkahwin.

Sebelum bekerja sebagai tukang urut, Che Mohamad membuat pelbagai pekerjaan termasuk menanam nenas bersama keluarganya di Jerantut.

Namun, ia tidak boleh menyara kehidupannya sendiri.

“Adik beradik saya 9 orang. Empat dari kami buta,” kata Che Mohamad menceritakan kehidupan beliau.

Selepas agak dewasa, Che Mohamad ditawarkan kursus mengurut oleh persatuan dan sejak itu kehidupannya sedikit berubah dan boleh mendirikan rumah tangga.

Walaupun tinggal hanya di rumah sewa satu bilik dengan sewa RM100 sebulan, Che Mohamad dan isteri hidup gembira.

“Kadang-kadang keluarga dan saudara mara datang dari kampung dan tinggal di rumah kami masa cuti sekolah. Tidurlah mereka di ruang tamu rumah kami yang hanya ada satu bilik tu.

“Saya kata kat mereka, kalau nak selesa sewa hotellah. Tetapi mereka nak juga tinggal di rumah kami,” cerita Che Mohamad tentang kehidupannya.

Che Mohamad tinggal di Flat Sri Pahang, Bangsar yang telah dibina pada tahun 1960an lagi melalui projek perumahan bandar oleh perdana menteri Tun Abdul Razak. 630 unit darinmya adalah rumah satu bilik manakala 387 unit lagi dua bilik.

Che Mohamad pernah memohon dari DBKL untuk sewa di flat dua bilik milik mereka tetapi oleh kerana beliau belum ada anak, permohonan beliau telah ditolak.

Beliau pernah memohon dari DBKL untuk sewa di flat dua bilik milik mereka tetapi oleh kerana beliau belum ada anak, permohonan beliau telah ditolak.

“Jadi tinggalah kami di rumah satu bilik tu,” kata beliau sedih tetapi bersyukur dengan kehidupan yang lebih baik selepas Covid-19 mula mereda di negara ini.