Malaysia Dateline

Selepas PKR, skrip berikutnya Adun Pas masuk DAP, kata Dr Halimah

Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Selat Klang Dr Halimah Ali menempelak pihak tertentu dakwanya sengaja membangkitkan isu berkaitan kemungkinan Adun Pas akan melompat menyertai PKR sebagai fitnah pihak tertentu.

Bahkan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat ini berkata, terdapat usaha pihak tertentu untuk membina persepsi negatif mengenai adun-adun Pas Selangor menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Virus PRU14 memang virulen dan poten. Jika terjangkit, akan hilang kewarasan. Yang betul dikata salah. Yang salah dikata betul. Yang dulu lawan, dianggap kawan. Yang dulu kawan dilawan habis habisan.

“Yang kukuh berprinsip dilabelkan gila jawatan. Yang melompat tak tahan kepanasan Dihias indah bak pahlawan. Inilah dia natijah virus virulen PRU14,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau turut menjangkakan tidak mustahil Adun Pas bukan sahaja dikatakan akan melompat menyertai PKR sebaliknya mungkin juga akan menyertai DAP.

“Terbaru dikatakan 10 Adun Pas akan keluar Pas. Kali ini dikatakan masuk PKR.

“Oleh kerana PRU14, paling lama dalam masa 8 bulan. Adakah skrip berikutnya akan melontarkan pula bahawa sebahagian Adun Pas Selangor masuk DAP?

“Ini kerana hilang keyakinan kepada Pas. Mesej yang puak ini ‘mahu bina’ ialah seolah olah Pas tidak kuat. Maka jangan undi Pas. Tengok… YB Pas pun dah keluar,” ujarnya.

Justeru katanya, pengalaman beliau sebelum itu berhasrat untuk memfailkan saman terhadap sebuah portal RM40juta kerana menyebarkan fitnah mengenai dirinya.

“Kemudian portal itu minta maaf pada saya dan keluarga.

“Bagi pemfitnah yang memberi makan anak isteri dengan berita bohong yang melibatkan YB Pas Selangor, eloklah bertaubat…. dan stop!,” tegasnya.

Khabar angin mengatakan 10 Adun Pas di Selangor dijangka menyertai PKR sejak bebrapa minggu lalu.

Naib Presiden Pas yang juga Adun Chempaka Datuk Iskandar Abdul Samad memberitahu dakwaan itu sebagai khabar angin dan hanya perang siber.

Iskandar dipetik berkata, ia adalah satu khabar angin yang sengaja dicipta untuk mengganggu persiapan Pas Selangor menghadapi pilihan raya umum yang dijangka kurang dari 3 bulan dari sekarang.

Ia juga adalah bertujuan untuk mewujudkan kegusaran di kalangan ahli-ahli agar mereka hilang tumpuan.