Selepas PRK Kimanis, Pas Sarawak anggap tiada masalah guna lambang BN

Selepas PRK Kimanis, Pas Sarawak anggap tiada masalah guna lambang BN

Pas Sarawak dalam kenyataannya menyifatkan tiada masalah untuk menggunakan lambang BN jika dapat memberi kemenangan dalam pilihan raya.

Ketua Penerangannya, Zharudin Narudin berkata, Pas Sarawak sedia mempertimbangkan untuk menggunakan lambang BN pada pilihan raya umum akan datang susulan kemenangan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis semalam.

“Pas Sarawak sebelum ini juga melihat tiada masalah untuk menggunakan lambang BN sekiranya ia perlu untuk Pas menang kerusi sulung di Sarawak,” katanya.

Beliau berpendapat kejayaan BN di Kimanis adalah sebahagian petanda bahawa Muafakat Nasional (MN) sudah mula diterima di Borneo.

Menurutnya, Pas Sarawak mempunyai kelebihan apabila bebas dari mana-mana kerjasama manakala Muafakat Nasional di peringkat pusat ialah satu kelebihan yang tidak patut diabaikan untuk mengembalikan Sarawak yang sebelum ini kuat dengan sentimen undi lambang BN.

Sehubungan itu, Zharudin menggesa Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menguasai 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak memberi pertimbangan untuk menyertai Muafakat Nasional.

Pas Sarawak juga, jelasnya, konsisten dengan pendirian tidak akan memberi ruang untuk kemenangan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu.

Walaupun begitu, Pas, tegasnya, tidak akan memberi ruang kepada GPS di kawasan DUN yang dilihat berpotensi untuk dimenangi Pas.

“GPS perlu sedar dengan undi-undi Pas yang ada di beberapa DUN yang pernah ditandingi juga boleh menyumbang kepada kemenangan besar atau mungkin sebab kekalahan kepada GPS.

“Ini kerana sudah terbukti ahli dan penyokong PAS adalah setia walau apa jua arahan daripada parti, mereka akan ikuti,” katanya.

Zharudin menambah GPS juga perlu sedar lambang BN masih menebal di Sarawak dan ini akan memberi saingan kepada mereka jika wujud calon yang menggunakan lambang tersebut.