Malaysia Dateline

Selepas rakan jenayah dipenjara, apa salah polis tawar hadiah RM1 juta untuk tangkap Jho Low!

Sampai bila perompak wang negara, Jho Low perlu bebas begitu sahaja sedangkan Menteri Pertahanan yang ada, Datuk Seri Hihammuddin Husein berjanji akan mencarinya sehingga ke lubang cacing.

Bagi mempastikan Jho Low tidak bebas begitu sahaja selepas rakan jenayahnya Datuk Seri Najib Razak telah masuk penjara, kerajaan dicadangkan agar menawarkan hadiah sehingga RM1 juta kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat sehingga tertangkapnya Jho Low.

Apa salahnya sebahagian wang jualan kapal mewah Equanimity yang dirampas oleh kerajaan dan dijual dengan harga RM514 juta digunakan untuk membayar ganjaran ini.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng ketika membuat cadangan itu bertanya Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani apakah beliau bersedia membuat cadangan itu kepada kerajaan.

Dua hari lepas, Acryl Sani dalam kenyataannya berkata, Polis masih giat menjejaki ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, yang juga dikenali sebagai Jho Low, termasuk meneliti kesahihan segala maklumat diterima berhubung keberadaannya di negara asing.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya telah memohon dan memperolehi ‘red notice’ (individu dalam buruan berdepan pendakwaan) daripada Interpol terhadap Jho Low, pada 2018.

“Saya mengalu-alukan komitmen yang diumumkan semalam oleh Ketua Polis Negara (KPN), Acryl Sani Abdullah Sani dalam usaha mengesan dan membawa balik Jho Low untuk menghadapi tindakan undang-undang Malaysia, ” kata Lim Lip Eng.

Beliau turut bertanya kepada KPN sama ada pihak polis telah menghubungi dua orang bekas wartawan Wall Street Journal, Tom Wright dan Bradley Hope, tentang dakwaan mereka bahawa Jho Low dan keluarganya dilihat di negara China dan Hong Kong pada tahun 2018 dan 2019.

“Sekiranya tidak, mengapa pihak polis enggan mendapatkan maklumat daripada Wright dan Hope?” tanya Lim dalam kenyataannya.

Beliau juga ingin tanya KPN jika pihak beliau boleh mencadangkan kepada kerajaan untuk menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang mempunyai maklumat terkini mengenai keberadaan Jho Low dan geng-gengnya yang dikehendaki polis.

“Sebagai contoh, ganjaran RM100,000 atau RM1 juta daripada harga kapal mewah Equanimity bernilai RM514 juta yang telah dirampas daripada Jho Low kemudian dijual kepada syarikat Genting oleh kerajaan pada tahun 2019,” kata Ahli Parlimen DAP itu.

Pada Oktober 2018 lalu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menawarkan diri menjejaki ahli perniagaan Low Taek Jho sehingga ke lubang cacing.

Ahli Parlimen Sembrong itu turut berkata, inisiatif tersebut atas kapasitinya sendiri dan bukan kerana diminta oleh Putrajaya.

“Ini atas peribadi. Saya tahu ia bukan mudah tapi tidak ada siapa dalam negara itu yang menafikan Jho Low ini tidak terlibat dalam kes1MDB,” katanya kepada media di lobi Parlimen.