Selepas Rantau Pas akan teruskan kerjasama politik hingga PRU15, kata Takiyuddin

Selepas Rantau Pas akan teruskan kerjasama politik hingga PRU15, kata Takiyuddin
Datuk Takiyuddin Hassan ketika mengucapkan tahniah kepada kemenangan calon BN Datuk Seri Mohamad Hasan pada PRK Rantau semalam.

Selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) di Rantau, Pas akan meneruskan kerjasama politik dengan Umno pada pilihan raya kecil (PRK) seterusnya, ujar Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan.

Malah, kata beliau, untuk jangka panjang, ia akan diteruskan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Apabila mengesahkan kerjasama politik dengan Umno, jadi, PRK adalah praktikalnya. Kita ada jangka pendek, beberapa PRK lagi, dan dalam jangka panjang, PRU15,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas pengumuman kemenangan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan di Pusat Penjumlahan Undi Rasmi PRK Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau pada Sabtu seperti dipetik Astroawani.

Tambahnya, parti itu juga sedang melakukan perbincangan teknikal dengan Umno untuk memuktamadkan bentuk kerjasama yang lebih strategik selepas ini.

“Kita sedang berbincang untuk PRK seterusnya di antara jawatankuasa teknikal Pas-Umno. Dan kita akan muktamadkan bentuk kerjasama kita, terma rujukan kita, pelan strategik yang akan kita laksanakan. Itu caranya,” kata Takiyuddin lagi.

Terdahulu, BN berjaya mengekalkan kemenangan di kerusi Dun Rantau selepas Mohamad, yang juga Timbalan Presiden Umno, berjaya memperoleh majoriti 4,510 undi.

Mohamad, 63 tahun, menewaskan tiga pencabarnya – calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram, 60 tahun, dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi, 51 tahun, dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin, 67 tahun.

Dr Streram yang juga Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau dan pakar bius mendapat 5,887 undi manakala Malarvizhi dan Mohd Nor, masing-masing memperoleh 83 serta 79 undi.