Malaysia Dateline

Selepas Raya, Perikatan Nasional ke mana?

Umat Islam baharu sahaja menyambut hari raya Aidilfitri 1441 hijrah. Sambutan Hari Raya pada kali ini amat berbeza dengan sambutan sebelum ini. Kita semua masih ingat betapa meriahnya sambutan hari raya kali pertama yang disambut selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018. Berpusu-pusu rakyat tanpa mengira bangsa dan agama datang berkunjung ke rumah terbuka Perdana Menteri pada waktu itu.

Berbeza kali ini, sambutan Hari Raya bagi Perikatan Nasional (PN) ternyata suram. Malah, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin sendiri telah dikuarantinkan semasa Aidilfitri ini akibat menghadiri mesyuarat bersama seorang pegawainya yang disahkan positif Covid-19.

Begitu juga, aktiviti rumah terbuka tidak dapat dilaksanakan sebagaimana sebelum ini. Malah, umat Islam juga terpaksa solat sunat Aidilfitri di rumah masing-masing. Bahkan, tidak pernah terbayang bagi umat Islam untuk tidak solat fardhu Jumaat lebih 10 kali dan tidak solat tarawih di masjid sepanjang sebulan berpuasa.

Namun, nampaknya kegilaan politik PN tidak pernah suram. Sehingga kini tiada dasar-dasar besar yang telah diperkenalkan oleh mana-mana menteri PN melainkan pakej rangsangan ekonomi Covid-19 itu sahaja. Itu pun hanya sekadar diumumkan sedangkan ianya tidak pernah dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen.

Begitu juga, pelaksanaan pakej rangsangan ini telah menjadi isu besar khasnya bagi pemberian bantuan prihatin nasional yang mana ada peniaga yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah dinafikan hak mereka.

Apa yang menjadi keutamaan PN adalah hanya untuk mengagih-agihkan jawatan sesama mereka sahaja. Kerakusan pembahagian jawatan di agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ini telah menjadi bualan rakyat.

Langkah melantik ahli Parlimen untuk memegang jawatan di agensi dan GLC ini tidak mendapat sokongan rakyat kerana pelantikan mereka tidak berasaskan kepada merit tetapi semata-mata atas faktor mazhab politik bagi tujuan mengukuhkan sokongan ahli-ahli Parlimen ini kepada Perdana Menteri.

Ketakutan PN terhadap usul undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri telah terbukti pada 18 Mei lalu. Langkah Speaker yang membenarkan usul tersebut dibentangkan benar-benar memeranjatkan ramai pihak sama ada di pihak pembangkang mahu pun di pihak kerajaan.

Pihak kerajaan menjangka bahawa Speaker tidak akan membenarkan usul sedemikian dibentangkan. Pihak pembangkang pula tidak menduga bahawa Speaker begitu berani untuk membenarkan usul undi tidak percaya itu dibentangkan tatkala ramai pihak kini telah menukar kem politik masing-masing untuk menjaga periuk nasi mereka.

Ucapan tahniah sepatutnya diberikan kepada Speaker yang telah menjalankan tugasnya menurut keluhuran undang-undang dan peraturan mesyuarat yang ditetapkan. Speaker ini tidak memilih untuk bermain politik murahan walaupun menyedari bahawa Muhyiddin kini adalah orang yang paling berkuasa di Malaysia.

Boleh sahaja beliau menolak usul undi tidak percaya itu. Tetapi beliau lebih selesa memilih untuk mendaulatkan undang-undang daripada membodek seorang bos. Sebelum ini pun beliau pernah menolak permintaan Mahathir untuk memanggil sidang khas Parlimen sewaktu Mahathir menjawat jawatan Perdana Menteri Interim. Maka, tentu ramai yang tidak menyangka Speaker boleh menerima usul undi tidak percaya Mahathir ini tatkala Mahathir tidak mempunyai apa-apa kuasa sekarang.

Sebaik sahaja Speaker mengumumkan bahawa beliau membenarkan usul undi tidak percaya ini lantas tidak semena-mena Datuk Takiyuddin Hasan, menteri yang bertanggungjawab hal ehwal Parlimen menyatakan bahawa kerajaan akan membawa tiga usul pada tarikh persidangan pada 18 Mei.

Padahal sebelum itu, hal ini tidak pernah disebut atau dibangkitkan. Tidak lama selepas itu Perdana Menteri pula telah menggunakan kuasanya sebagai Ketua Majlis untuk memendekkan sidang Parlimen dan tidak membenarkan sebarang usul dikemukakan. Ini menunjukkan betapa pihak kerajaan begitu gentar dengan tindakan yang dibuat oleh Mahathir.

Pasca sidang Parlimen itu menunjukkan Muhyiddin tidak mendapat sokongan padu. Majoriti yang diperolehi beliau adalah senipis kulit bawang dengan perbezaan sokongan majoriti 2-3 kerusi sahaja. Maka, tidak hairanlah Muhyiddin menggunakan kesempatan ini untuk menawarkan jawatan lantikan kepada kesemua ahli Parlimen yang menyokong kerajaannya.

Apakah tanda-tanda ini menunjukkan bahawa kerajaan PN ini adalah satu kerajaan yang tidak stabil dan berada di hujung tanduk? Hanya masa yang akan menentukan hal tersebut. Tetapi sikap yang ditunjukkan oleh PN ini menunjukkan bahawa PN ini sering berasa tidak selamat.

Mereka sedar bahawa kerajaan PN ini bukanlah kerajaan yang mendapat mandat rakyat tetapi ianya adalah hasil ‘tebuk atap’ daripada pengkhianatan beberapa wakil rakyat terhadap perjuangan parti masing-masing.

Justeru, tidak sulit untuk kita melihat hala tuju PN selepas Hari Raya ini. Pertamanya, Muhyiddin akan terus membeli sokongan daripada semua ahli Parlimen termasuk ahli Parlimen PH dengan menawarkan pelbagai jawatan strategik.

Keduanya, perebutan kuasa antara parti-parti PN akan berlaku khasnya antara PPBM dan Umno memandangkan Umno adalah komponen yang paling kuat dan dominan serta paling berpengalaman dalam kerajaan.

Ketiganya, tata kelola yang baik (good governance) dalam kerajaan akan menurun dan seterusnya akan mendedahkan kepada gejala ketirisan wang negara. Keempat, aktiviti yang berupa rasuah dan politik wang akan mendominasi kementerian dan seterusnya akan menyebabkan indeks Transparency International akan merudum teruk.

Langkah perbelanjaan berhemat melalui pengawalan fiskal oleh kerajaan PH sebelum ini akan gagal. Kelima, kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat yang dinikmati rakyat semasa pemerintahan kerajaan PH akan disekat dan pendakwaan akan banyak dibuat dengan menggunakan Akta Hasutan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Oleh itu, pimpinan PH tidak boleh berdiam diri dan hanya menanti PRU-15 untuk mengambil alih tampuk pemerintahan. Usaha-usaha perlu dibuat segera untuk membendung kerosakan yang bakal dibuat kerajaan PN.