Selepas RCI, Nor Yakcop lepas jawatan dalam Khazanah

Nor Mohamed Yakcop

Selepas keterangan yang dianggap menyebelahi Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Siasatan Diraja perdagangan wang asing (RCI Forex), Khazanah Nasional Berhad mengumumkan perletakan jawatan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau melepaskan jawatan sebagai timbalan pengerusi syarikat pelaburan strategik negara itu berkuatkuasa 30 September iaitu hujung bulan ini.

Beliau juga melepaskan kedudukannya sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).

“Perletakan jawatan itu dikemukakan pada mesyuarat lembaga pengarah Khazanah hari ini,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan Khazanah.

Semasa sidang RCI Forex baru-baru ini, Nor Mohamed berkata Tun Dr Mahathir tidak tahu menahu mengenai urusniaga Forex yang membawa kerugian besar kepada negara itu.

Dalam penyataan bertulis itu, bekas Penolong Gabenor dan penasihat Bank Negara Malaysia (BNM) itu berkata, Mahathir tidak pernah diberitahu mengenai urus niaga perdagangan mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) apabila ia mengalami kerugian besar.

“Saya pada bila-bila masa, dari tahun 1986 hingga 1993, tidak berbincang dengan perdana menteri Malaysia (Dr Mahathir) mengenai urus niaga forex oleh BNM,” katanya dalam kenyataan 42 halamannya hari ini.

Nor Mohamed, 70, juga memberitahu panel Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang Anwar Ibrahim, yang merupakan menteri kewangan dari tahun 1991 hingga 1998, juga tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.