Selepas ribut, muktamar Pas berjalan seperti biasa hari ini

Selepas ribut, muktamar Pas berjalan seperti biasa hari ini

Pas Kedah merakam rasa simpati terhadap semua mangsa bencana ribut yang berlaku di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, tempat berlangsungnya Muktamar Pas ke-63, malam tadi.

Ahmad Fakruddin Sheikh FakhruraziPesuruhjayanya Dr Ahmad Fakruddin Sheikh Fakhrurazi berkata bencana itu tidak menjejaskan program muktamar tahunan Pas yang berlangsung di kompleks itu sehingga esok.

“Pihak Panitia Muktamar Tahunan Pas ke-63 menzahirkan rasa simpati ke atas mangsa-mangsa bencana ribut yang berlaku di Kompleks Pas Kedah sejurus selepas azan Maghrib dan mendoakan kesejahteraan mereka.

“Semua aturcara program Muktamar Tahunan PAS ke-63 yang tidak melibatkan tapak ekspo adalah berjalan seperti biasa,” katanya kenyataan hari ini.

Ahmad Fakruddin turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan semua mangsa bencana itu.

“Pihak Panitia Muktamar serta Pas Kedah ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Amal Malaysia, Pasukan Bomba dan Penyelamat, pegawai kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Medic Papisma dan St. John Ambulance yang telah membantu mangsa di tempat kejadian,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 7.25 malam itu, sebanyak 19 orang dilapor cedera termasuk seorang tidak sedarkan diri dalam kejadian ribut yang meranapkan khemah utama di kompleks berkenaan.

Sementara itu, pengerusi Lajnah Ekonomi Pas Pusat Dr Mohd Khairuddin Aman Razali turut merakam ucapan takziah kepada para peniaga dan ahli Kelab Usahawan Haraki yang diuji dengan risiko kerosakan dan kerugian harta benda.

“Saya mewakili Kelab Usahawan Haraki (Ku-Haraki) di bawah Lajnah Ekonomi Pas Pusat mengucapkan takziah kepada beberapa pengunjung dan peniaga yang cedera akibat musibah ribut yang berlaku di gerai pameran dan jualan muktamar Pas semalam.

“Moga Allah kurniakan pahala kesabaran dan menggantikan dengan sesuatu yang jauh lebih baik di dunia dan di akhirat,” katanya yang juga ketua penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat.

Ucapan takziah turut dirakam Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini.

“Saya bagi pihak Pas merakam ucapan takziah kepada semua mangsa kejadian ribut yang melanda tapak gerai jualan dan pameran yang diadakan sempena Muktamar Pas.

“Pas juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih atas tindakan jitu semua pihak yang bertungkus-lumus menangani kejadian semalam,” katanya dalam kenyataan.

TAGS