Malaysia Dateline

Ahli parlimen Pas Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menaiki kenderaan bersama Datuk Razif Abdul Rahman selepas dipelawa menteri besar Terengganu itu

Selepas sambut TPM, MP Pas naik kenderaan dengan MB Terengganu

Selepas aksi mesra dengan timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 28 Mei lalu, keesokannya pula ketua penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dilihat menaiki kenderaan bersama menteri besar Terengganu.

Difahamkan, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman mempelawa Khairuddin yang juga ahli parlimen Kuala Nerus menaiki kenderaan bersama beliau selepas selesai program majlis penyerahan projek pembangunan jambatan di atas sungai Terengganu ke Pulau Sekati.

Khairuddin bersama sama Razif ketika menguji jambatan baru Pulau Sekati Kuala Terengganu

Khairuddin dengan segera menerima pelawaan tersebut, menurut portal pru14.tv.

Pada 28 Mei lalu, pesuruhjaya Pas Terengganu yang baharu Datuk Husien Awang turut menyambut kehadiran Zahid ke Terengganu dan berbuka puasa bersama-sama di program penerapan nilai-nilai murni bersama timbalan perdana menteri di Masjid Tok Jembal, Seberang Takir yang merupakan tempat Razif sendiri.

Pesuruhjaya Pas Terengganu Datuk Husien Awang (baju melayu kelabu) bersama-sama Ahli Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razli dan Adun Bukit Tunggal Dr Alias Razak dalam majlis berbuka puasa bersama timbalan perdana menteri Datuk Seri Zahid Hamidi

Perkembangan ini dilihat membuka lembaran baharu kepada politik Terengganu khususnya ke arah kerjasama Pas-Umno menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas Pas tidak mahu bersama-sama Pakatan Harapan.

Umno pula dilihat senang dengan perkembangan ini dan menyambut baik jika Pas ingin bekerjasama dengan parti itu.