Selepas Sarawak, Azmin kini tersepit di dua PRK

Selepas Sarawak, Azmin kini tersepit di dua PRK

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Timbalan Presiden PKR, Datuk Mohamed Azmin Ali dikira pihak yang paling tersepit menjelang pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Selepas Dap dan penyokong Pakatan Harapan menyerang beliau ekoran pertembungan sesama calon mereka di Sarawak, kini beliau berdepan dengan serangan dari pemimpin Amanah dan Pas pula ekoran dari usahanya mahu PKR bertanding di Sungai Besar.

Ini kerana pemimpin Amanah menganggap kerusi itu adalah sepatutnya milik Amanah apabila parti pecahan dari Pas itu menggantikan Pas dalam Pakatan Harapan selepas hancurnya Pakatan Rakyat.

Belum reda serangan itu, Pas pula kini menyerang Azmin selepas beliau dikatakan memberi kata dua kepada tiga Exco Pas dalam kerajaan negeri Selangor agar Pas menarik diri dari bertanding di Sungai Besar atau ketiga-tiga mereka meletakkan jawatan dari Exco kerajaan negeri Selangor.

Ekoran itu ketiga-tiga mereka bersama beberapa pemimpin dari Selangor terbang ke Marang bagi bertemu Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi membincangkan isu itu.

Dalam pertemuan itu Hadi memutuskan agar Pas terus bertanding di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, dalam masa yang sama mengarahkan agar ketiga-tiga mereka kekal dalam kerajaan negeri atau tidak meletakkan jawatan.

Azmin bagaimanapun menafikan memberikan kata dua itu selepas ia disiarkan oleh media dan berkata beliau akan terus berunding dengan
pemimpin Pas mengenainya.

Sekurang-kurangnya tiga pemimpin kanan Pas menulis dalam Facebook mereka menyerang Azmin ekoran dari kata dua Azmin itu.

Ketua Pemuda Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, Ketua Penerangan Dewan Ulama, Datuk Dr Khairudin Aman Razali dan AJK Pas Pusat, Mokhtar Senik.

Nik Abduh mempertikaikan rundingan yang diusahakan Azmin dan menegaskan Pas akan kekal bertanding di kedua-dua kawasan dalam PRK ini.

“Hormati kami jika kami menolak rundingan ‘mee segera’ yang sekadar memaksa kami melepaskan hak berasaskan kerusi PRU13,” tulis Nik Abduh.

Belum reda dengan ugutan itu, sekali lagi Azmin diserang beliau selepas berkata Hadi tidak tahu apa yang berlaku dalam parti itu ekoran kenyataannya Pas tiada perundingan dengan PKR.

Ini kerana, kata Azmin, beliau sudah dua kali berunding dengan pemimpin Pas mengenainya.

“Ada jugak orang politik kata, ada presiden parti tak tahu apa pun hal partinya. Biasanya yang saya dengar ialah ada orang jahil @ kurang ajar kata, ulamak tu tak tahu apa pun pasal ugamanya,” tulis Nik Abduh dalam Facebooknya.

Mokhtar pula mengungkit kembali jasa Pas kepadanya apabila mencadangkan nama Azmin untuk dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.

“Rasa-rasanya hari tu, PKR dan DAP hantar tak nama Azmin kepada Sultan sebagai calon MB Selangor menggantikan TSKI (Tan Sri Khalid Ibrahim).

“Siapa pakar sejarah tolong perjelaskan sikit…terlupa pulak saya,” kata Mokhtar menyindir Azmin.

Dalam pada itu ketika Azmin berusaha untuk membuat perundingan agar Pas tidak bertanding di Sungai Besar, parti itu sudah jauh ke depan membuat persiapan ke arah pilihan raya itu.

Taklimat-taklimat pilihan raya diadakan diadakan oleh Pas bagi mempersiapkan jenteranya ke arah menyertai pilihan raya itu.

Semalam taklimat diadakan untuk pertugas Pas di Selayang oleh pengarah pilihan raya Pas Sungai Besar, Azizan Abdul Rahman.

Esok, Ahad 22 Mei pula Ijtimak Pas Selangor akan diadakan di Dewan Sri Bernam, Sungai Besar.

Semua pemimpin dan ahli Pas dari peringkat cawangan di seluruh Selangor dikerah agar menyertai ijtimak ini.

Program ini dijangka akan digunakan sebagai platfom untukmenerangkan apa yang berlaku di Selangor sekarang terutama selepas tiga ahli Exco Selangor dari Pas diberikan kata dua oleh MB.

TAGS