Malaysia Dateline

Isteri Shazni munir dipanggil polis

‘Selepas saya, isteri saya pula dipanggil polis’

Selepas seminggu yang lalu saya ditahan lokap untuk membantu siasatan berkenaan protes di depan Pejabat Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Putrajaya, giliran isteri saya pula dipanggil pihak polis untuk diambil kenyataan berhubung himpunan solidariti menuntut pembebasan saya di depan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

Walau apa pun alasan dan sebab, saya melihat tindakan polis ketika ini telah sampai ke tahap yang sukar untuk ditoleransi. Tinggal seminggu lagi menjelang Aidilfitri, sedaya-upaya telah saya pohon dan rayu agar ditangguhkan untuk isteri memberikan kenyataan, sekurang-kurangnya selepas sambutan perayaan.

Malangnya pegawai bertugas mahu segalanya selesai sebelum hari ini. Setelah perbincangan menemui jalan buntu, di samping komitmen pegawai sendiri bahawa pihak polis hanya mahu mengambil kenyataan sahaja – tidak lebih dari itu, saya setuju menemani isteri ke IPD Putrajaya malam ini bersama peguam.

Jauh di sudut hati, sebenarnya saya teramat hairan, apa bentuk kenyataan yang mahu diambil dari isteri saya? Tidakkah jelas dalam rakaman video di media-media sosial bahawa isteri saya hanya merayu agar saya dilepaskan segera kerana anak sulung teramat rindu dengan saya? Bukankah tangisan dan rayuan sang isteri itu normal ketika suami terpasung di lokap tahanan?

Saya hanya mampu berdoa agar segalanya berjalan lancar, setelah kami sekeluarga berkorban perasaan dan masa menempuh Ramadan yang penuh getir ini. Benar, saya telah memilih untuk melawan ketidakadilan sistem pilihan raya. Risikonya saya maklum. Kalau pun ada yang tidak senang dan geram, usahlah disusah-susahkan anggota polis yang telah sedia sibuk.

Baik perbincangan tertutup mahupun wacana terbuka, kesemuanya boleh diusaha sekiranya Pengerusi SPR komited dengan idea untuk mereformasi sistem pilihan raya. Beliau hanya perlu tampil berani dan berdepan dengan semua pihak. Ya, tidak perlu menyorok di belakang pintu pejabat.

Shazni Munir Mohf Ithnin ialah Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional