Malaysia Dateline

Selepas sayur, roti Gardenia pula naik harga mulai 1 Disember ini

Dua hari lepas rakyat Malaysia dikejutkan dengan kenaikan harga sayur sehingga 200 peratus, hari ini rakyat sekali lagi dikejutkan dengan kenaikan harga roti Gardenia.

Kenaikan ini memaksan pengguna di Malaysia membayar tambahan sekitar 10 hingga 45 sen untuk produk berasaskan roti keluaran Gardenia mulai 1 Disember ini.

Menurut Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd syarikatnya terjejas teruk berikutan kenaikan kos akibat pandemik bagaimanapun berusaha sedaya upaya untuk menyerap kenaikan harga bahan mentah.

Senarai harga baru roti Gardenia bermula 1 Disember ini

“Namun, peningkatan besar dalam pembuatan, dan kos bahan, yang di luar kawalan kami, telah meletakkan Gardenia KL dalam kedudukan sukar tanpa alternatif kecuali melaksanakan semakan harga ke atas produk Gardenia berkuat kuasa 1 Disember 2021,” kata syarikat itu.

Menurut Gardenia, antara lain, harga tepung, gandum, lelemak, serbuk koko, susu dan pembungkusan telah meningkat.

Menurut senarai semakan harga yang dilaporkan dihantar kepada peruncit, harga roti Classic Original Gardenia akan naik 30 sen kepada RM2.80, manakala roti Jumbo berharga RM4, iaitu peningkatan 45 sen. Roti bajet Bonanza Big Value akan naik 35 sen menjadi RM3.10.

Roti bijirin gandum penuh Gardenia pula akan dijual dengan kenaikan 30 sen, manakala roti Bran & WheatGerm pula akan menyaksikan kenaikan 40 sen.