Malaysia Dateline

Selepas sebulan bencana kepala air Yan, apa yang segera?

18 Ogos 2021 merupakan detik menyayat hati bagi penduduk di daerah Yan khususnya yang tinggal berhampiran pusat peranginan Titi Hayun dan Batu Hampar akibat bencana “kepala air” yang mengakibatkan kemusnahan yang amat teruk dan meragut nyawa.

Lokasi bencana ini juga turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan merupakan lokasi pertama lawatan beliau setelah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru menggantikan Tan Sri Mahiaddin Mohd Yaasin.

Dalam lawatan beliau, Perdana Menteri mengumumkan bantuan segera berjumlah RM75 juta. Diulang, “BANTUAN SEGERA”.

Dalam sidang medianya, Ismail Sabri menyatakan “Semua bantuan ini kita akan salurkan segera supaya tidak timbul isu terutamanya melibatkan kemudahan infrastruktur di dua daerah ini,”.

Hari ini setelah sebulan berlalu, kawasan sekitar tempat kejadian tidak menunjukkan apa-apa perubahan seperti yang “SEGERA” dinyatakan oleh Perdana Menteri.

Saya ke lokasi kejadian bersama pasukan Reset Malaysia semalam melihat sendiri kesan bencana dan apakah kemajuan daripada pengumuman Perdana Menteri.

Sedih, menyayat hati dan amat menyinggung perasaan.

Perdana Menteri mengumumkan “BANTUAN SEGERA” RM75 juta tidak termasuk RM3 juta yang diumumkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

– RM50 juta menerusi Kementerian Alam Sekitar dan Air untuk naik taraf sungai dan sistem saliran sepanjang 27 kilometer fasa satu melibatkan kos RM5 juta.

– RM23 juta pembinaan 2 jambatan baru.

– RM2 juta untuk pembinaan intake loji rawatan air di Gurun

– RM20 juta untuk pembinaan Empangan Sabo fasa satu

– kerja baik pulih kemudahan pelancongan desa dan baik pulih bekalan air

Apa yang amat dikesalkan ialah pengumuman Perdana Menteri adalah “BANTUAN SEGERA”.

Sudah sebulan berlalu, yang segera dapat dilihat ialah kerja-kerja dari Jabatan Perhutanan mengangkut batang-batang balak keluar ke kawasan tertentu. Maklumat yang diperolehi dari sumber mengatakan ianya dibawa ke kawasan Sik.

Walaupun begitu, masih terdapat banyak lagi pokok besar yang dihanyutkan air bergelimpangan di kawasan bencana khususnya di Salak Denai dan kawasan sekitar.

Peruntukan RM50 juta melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air untuk 50 juta bagi naik taraf sungai ini sememangnya amat ditunggu-tunggu oleh penduduk Yan selama sebulan ini.
Setiap kali hujan turun, air akan melimpah dari sungai Batu Hampar ke jalan utama. Ada rumah penduduk kampung di bawah yang terjejas dengan limpahan air ini.

Semua ini berpunca dari aliran sungai yang telah berubah, tidak lagi melalui aliran dan laluan yang biasa disebabkan tragedi kepala air bulan lalu. Sungai menjadi lebar dan cetek.

Sungai yang cetek dan lebar menyebabkan laluan air mengalir tidak terkawal malah di sebahagian kawasan, air terjerap ke dalam tanah dan keluar ke permukaan lain sebagai mata air.

Sekarang musim tengkujuh melanda, penduduk di kawasan terbabit setiap hari berdebar-debar apabila melihat awan gelap menutupi puncak Gunung Jerai. Apa akan berlaku?

Dari segi psikologi, rata-rata penduduk yang ditemui, semua menyatakan perkara yang sama. Setiap kali nampak kelam di puncak gunung, mereka akan risau, meremang bulu roma. Trauma kejadian sebulan lalu masih segar.

Bantuan segera yang diumumkan hanya segera dalam pengumuman tetapi hakikatnya tiada apa yang segera di lapangan. Tiada sebarang kerja pembaikan dilihat. Penduduk yang kehilangan rumah, masih tiada rumah.

Pengusaha pusat peranginan seperti chalet yang rosak masih tidak mendapat apa-apa bantuan untuk kembali beroperasi semula. Sudahlah perniagaan ditutup akibat pandemik Covid-19, kini tempat mencari rezeki pula hanyut musnah dek bencana.

Jambatan kecil di Kampung Setol, sehingga sekarang masih tidak dibaiki dan dibetulkan. Penduduk berhampiran terpaksa mengikut jalan jauh sejauh 6 kilometer untuk urusan harian, termasuk setakat nak pergi ke pasar beli barang keperluan rumah.

BANTUAN SEGERA hanya diumumkan tetapi tindakan tidak segera. Penduduk di kawasan tersebut masih menanti dan terus menanti bilakah SEGERA itu akan berlaku.

Kehidupan harian mereka masih perlu diteruskan walau pun setiap hari dalam keadaan berjaga-jaga dan kerisauan melihat awan gelap di puncak gunung.

TINDAKAN SEGERA perlu dilakukan. Bukan lagi kajian demi kajian.

Bencana kepala air besar dan luar biasa ini menghanyutkan dan meruntuhkan bersama tanah dan pokok-pokok besar sekali dengan akarnya.

Kesan runtuhan boleh dilihat jika berada di pekan Yan. Ianya ibarat parut-parut luka di permukaan Gunung Jerai.

Jika hujan lebat kembali, gunung Jerai tidak mampu bertahan lagi sebagai tadahan hujan, air akan turun deras ke bawah melanda apa yang ada.

Laluan sungai sudah tidak terkawal, cetek dan akan melimpah ke atas jalan dan kediaman penduduk.

Selagi tidak dilakukan pembaikan segera, risiko yang lebih besar akan ditanggung kemudian.

Bilakah SEGERA itu akan berlaku. Adakah hendak menunggu bencana berulang?