Malaysia Dateline

Selepas sebulan dikritik, akhirnya PM lancar Didik TV

Akhirnya, selepas hampir sebulan dikecam kerana menggunakan peranti canggih dan internet untuk pembelajaran di rumah, tetapi tidak menggunakan TV, Kementerian Pendidikan Malaysia melancarkan Didik TV semalam.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut mengakui rakyat negara ini belum bersedia untuk belajar di atas talian.

Jomo mengkritik langkah kerajaan menggunakan peranti canggih untuk pembelajaran di rumah sedangkan hampir 90 pelajar tidak memilikinya. Klik gambar untuk tonton video.

Sebulan lalu, Malaysia Dateline melaporkan,  pakar ekonomi negara, Profesor Jomo K Sundran berkata, lebih 90 peratus kanak-kanak di negara ini bakal tercicir dalam pelajaran mereka apabila kerajaan melaksanakan pendekatan pembelajaran digital dan atas talian dengan menggunakan tablet, laptop atau telefon pintar.

Bekas anggota Majlis Penasihat Kerajaan Malaysia itu berkata, ini kerana, lebih 90 peratus pelajar sekolah rendah dan menengah di negara ini tidak mempunyai alat pembelajaran tersebut.

Padahal, kata beliau, kerajaan boleh menggunakan pembelajaran menerusi televisyen dan radio, ketika mereka tidak boleh ke sekolah akibat pandemik Covid-19, kerana lebih 90 peratus pelajar dan kanak-kanak di Malaysia mempunyai alat tersebut.

“Tetapi sekarang kita kononnya nak jadi canggih, moden dan masuk zaman digital, kita biarkan lebih 90 peratus itu ketinggalan,” kata Dr Jomo, seorang pakar ekonomi Malaysia yang pernah bertugas dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam satu klip video yang kini ditular ke media sosial.

Menurut beliau, TV dan radio memang sudah menjadi alat pendidikan yang popular sejak dahulu dan digunakan di seluruh dunia termasuk di Malaysia untuk pendidikan.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (DidikTV KPM) yang akan mula bersiaran pada hari ini di NTV7.

Beliau berkata, ia sebagai usaha untuk membolehkan murid mendapat akses kepada bahan pembelajaran melalui televisyen dan usaha berterusan KPM dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara.

Menurutnya, kerajaan sedar akan keresahan rakyat dalam situasi sukar dan mencabar ini termasuk hal berkaitan pendidikan anak.

“Justeru, kerajaan bersetuju untuk mewujudkan satu saluran khusus untuk siaran TV Pendidikan.

“Hari ini terukir satu sejarah kerajaan buat pertama kalinya memperkenalkan DidikTV KPM sebagai saluran khusus TV Pendidikan dengan pengisian bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari,” katanya di majlis pelancaran yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial semalam.