Malaysia Dateline

Selepas sebulan kritik MB Kedah, Tok Abah sertai AMANAH

Tok Abah yang bulan lalu ditangkap polis kerana mengkritik Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md. Nor telah menyertai AMANAH hari ini.

Roslie Datuk Kamsan dan isterinya berbuat demikian sekali gus meninggalkan Umno yang dianggap gagal membela nasib orang Melayu.

Lelaki berusia 61 tahun itu menyerahkan borang penyertaan kepada Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil.

Turut hadir Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman; Adun Lenggeng, Suhaimi Kassim dan Ketua Pemuda AMANAH negeri, Hanis Alimin.

Pada jam 3.57 pagi, 9 Ogos lalu Tok Abah ditahan polis di rumahnya di Lenggeng selepas mengkritik Sanusi berkaitan isu kontena menempatkan mangsa Covid-19.

Ekoran video berdurasi kira-kira sembilan minit itu, beliau disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Mengulas kemasukan Tok Abah ke dalam AMANAH, Faiz berharap warga emas itu membawa agenda perjuangan parti tersebut yang berteraskan “Rahmatan Lil A’lamin” ke dalam masyarakat.

“Alhamdulillah, hari ini menerima penyerahan borang penyertaan Tok Abah (Haji Roslie bin Dato’ Haji Kamsan) dan isteri ke dalam Parti Amanah Negara.

“Selamat datang Tok Abah ke keluarga besar AMANAH,” kata Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang itu.