Malaysia Dateline

Selepas sebulan nyata mahu bersama Bersatu, Shahidan dilantik pengerusi PR1MA

Selepas sebulan menyatakan pendirian teguh Umno Perlis akan bekerjasama dengan Bersatu dan Pas, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) hari ini berkuat kuasa serta merta.

Perlantikan ini diumumkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Zuraida Kamaruddin.

PR1MA adalah badan di bawah KPKT yang menyelaraskan kesemua pembinaan dan menyediakan pelan kewangan bagi Rumah Mampu Milik.

Sebulan lalu, iaitu pada 2 Januari, Shahidan menyatakan pendirian teguh untuk memperkasakan hubungan dengan Pas dan Bersatu menerusi Perikatan Nasional (PN).

Pendirian Umno Perlis itu hadir di saat banyak kawasan di negeri-negeri lain mengemukakan usul agar parti itu tidak bekerjasama dengan Bersatu termasuk gesaan menolak sokongan pada kerajaan PN.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan, sebanyak 147 daripada 189 Bahagian Umno menolak kerjasama denganbumi Bersatu Malaysia (Bersatu.

Perkara ini diumumkan Ahmad Maslan dalam sidang media yang diadakan pada 5 Januari, tiga hari selepas pengumuman Shahidan itu.

Menurut beliau, kesemua 189 mesyuarat Umno Bahagian sudah menyelesaikan mesyuarat pada 1 hingga 3 Januari lalu yang menyaksikan 147 Ketua Umno Bahagian menolak kerjasama berkenaan.

Shahidan dalam kenyataannya menegaskan, pihaknya sentiasa membuka ruang kerjasama dengan mana-mana parti dan menolak sebarang usaha ke arah perpecahan khususnya dalam kalangan parti-parti Melayu Islam.

Dalam masa sama, Ahli Majlis Tertinggi Umno itu juga menempelak sesetengah pemimpin yang bersungguh-sungguh mahu menolak kerjasama dengan Bersatu sekali gus bakal menyebabkan kerajaan PN tumbang.

“Pasal apa hendak tolak kerjasama dengan Bersatu supaya hendak pilihan raya cepat dan bolehkah kita menang? Realitinya adalah kita sedia hendak hadapi pilihan raya. Kita kerjasama dengan Pas dan Pas juga telah menetapkan pendirian tegas akan terus bekerjasama dengan Bersatu.

“Ada yang mengeluarkan kenyataan tidak menentu, buat apa hendak bermusuh dengan sebuah parti Melayu. Sebaik-baiknya kita mantapkan perpaduan bukan menambah musuh. Kita hendak menang dalam satu gagasan politik Melayu yang besar,” katanya dalam sidang akhbar di Arau 2 Januari lalu, lapor Utusan Online.

Sebelum ini, terdedah audio perancangan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan pemimpin politik agar menyertai partinya dengan diberikan jawatan dan kedudukan.