Malaysia Dateline

Selepas sebulan Sultan Selangor kecewa, dos vaksin Covid-19 masih terlalu rendah

Laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) memaklumkan hanya 29.2 peratus populasi Selangor setakat kelmarin menerima vaksin Covid-19 dos pertama.

Jumlah bersamaan 1.91 juta penduduk itu dilihat terlalu rendah berbanding populasi keseluruhan penduduk di negeri Selangor yang berjumlah 6.7 juta.

Namun, data JKJAV dikongsikan Menteri Kesihatan merangkumkan peratusan vaksinasi bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi menunjukkan liputan vaksinasi di Lembah Klang.

Oleh itu, Lembah Klang setakat semalam merekodkan 44.6 peratus populasi penduduk sudah memperoleh suntikan dos pertama.

Pada 8 Jun lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah menzahirkan rasa terkejut dan kecewa kerana Selangor menerima jumlah vaksin yang rendah daripada yang sepatutnya diterima.

Selepas lebih sebulan Baginda bertitah, Putrajaya melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilihat masih lagi gagal memberi keutamaan kepada Selangor yang mencatatkan kes harian tertinggi serta banyak kluster tempat kerja.

Walaupun Selangor mencatatkan pendaftaran untuk vaksin kedua tertinggi iaitu 96 peratus selepas Putrajaya dan Kuala Lumpur masing-masing 100 peratus tetapi ramai masih ternanti-nanti tarikh temujanji diberikan MySejahtera.

Setakat 16 Julai lalu, seramai lebih 4.5 juta penduduk Selangor bersamaan 96 peratus individu berusia 18 tahun ke atas di negeri itu sudah mendaftar bagi mendapatkan vaksin Covid-19.

Sebagai perbandingan, pemberian vaksin Covid-19 di Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing sudah mencapai 93 peratus dan 62 peratus merangkumi suntikan dos pertama.

Bahkan, Sarawak mencatatkan peratusan vaksinasi dos pertama lebih tinggi daripada Selangor mencecah 54 peratus.

Kejayaan Sarawak yang ‘laju’ menuju kepada imuniti kelompok untuk negeri itu dilihat hasil pendekatan suntik dahulu, kemudian daftar selain temujanji menerusi aplikasi MySejahtera.

Namun, lain pula halnya dengan apa berlaku di Selangor. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) seolah-olah ‘terlepas pandang’ negeri yang menjadi penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia itu.

 

Gagal mengekang 

Akibat program vaksinasi yang amat perlahan di Selangor, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 34 mukim selama dua minggu bermula 3 Julai dilihat gagal mengekang penularan Covid-19.

Pada 2 Julai lalu, jumlah kes Covid-19 di Selangor sebanyak 254,543 kes dengan 2,907 kes baharu manakala pada 16 Julai, jumlah kes sudah mencecah 312,606 kes termasuk 5,512 kes baharu.

Ini bermakna kes jangkitan Covid-19 di Selangor naik 23 peratus dalam tempoh dua minggu PKPD dengan banyak kilang dibuka sama ada yang dihalalkan dan diharamkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Sehubungan itu, Putrajaya sepatutnya tiada alasan untuk segera melaksanakan suntikan pelalian lengkap dua dos di Selangor secara terus atau ‘walk in’ di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Tidak guna kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendabik dada mengumumkan kadar pemberian vaksin tertinggi dengan ratusan ribu dos jika Selangor sebagai contoh semalam hanya menerima 75,881 dos pertama.

Hal ini memandangkan kesemua daerah di Selangor dengan kawasan bandar yang padat dengan penduduk dan aktiviti ekonomi yang tinggi sudah mencatatkan jumlah kes Covid-19 yang amat membimbangkan.

Semakan menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mendapati, dalam tempoh 14 hari setakat semalam, daerah Petaling merangkumi mukim Damansara, Petaling, Sungai Buloh dan Bukit Raja mencatatkan sebanyak 19,779 kes!

Pola jangkitan Covid-19 juga dilihat kritikal bagi tempoh sama di daerah Hulu Langat dengan 13,014 kes diikuti Klang (9,411 kes) dan Gombak 7,846 kes.

Pemberian vaksin secara ‘walk in’ untuk penduduk di daerah-daerah kritikal itu patut disegerakan sekali gus mempercepat hasrat kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok, meliputi 80 peratus daripada golongan dewasa di negara ini.

Bekalan vaksin menjangkau 12 juta dos yang dijadual tiba bulan ini diharap dapat memaksimumkan pelalian di Selangor serentak mempercepat vaksinasi penduduk warga tua dan mereka yang mempunyai komorbiditi.

Tumpuan vaksinasi perlu diutamakan kepada populasi penduduk di Selangor di kawasan padat penduduk B40 seperti di gugusan rumah pangsa dengan majoriti golongan berusia produktif terpaksa keluar bekerja.

Selagi suntikan pelalian tidak dimaksimumkan secara ‘walk in’, selagi itu Selangor dibimbangi akan terus menjadi juara penyumbang terbesar kes baharu Covid-19 setiap hari.

Perlu ada pendekatan drastik termasuk vaksinasi besar-besaran secara ‘walk in’ memandangkan amalan sedia ada sejak PICK bermula pada 24 Februari lalu terbukti gagal mencapai peratusan penerima dos suntikan yang sepatutnya di Selangor.

Sasaran program vaksinasi di kawasan bandar serta pinggir bandar di Selangor juga dilihat amat mendesak bagi mengelak Selangor terus mencatatkan kes kematian tertinggi.

Bahkan, Ketua Dewan Ulama Pas Selangor, Rizuan Rahmat turut mengisi senarai panjang korban Covid-19 di Selangor apabila menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sungai Buloh pada 29 Jun lalu.

Memandangkan Pas pada masa ini juga sebahagian daripada kerajaan PN, wajar sekali parti dengan 18 kerusi Parlimen itu lebih rajin lagi lantang mendesak Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yassin untuk mengutamakan program vaksinasi besar-besaran di Selangor.