Malaysia Dateline

Selepas sedekad dapat bekalan air melalui Ziarah Kasih

Penantian hampir sedekad sebuah keluarga dari Kampung Bukit Teriak, Bukit Lada untuk mendapatkan kemudahan bekalan air, bakal berakhir selepas kedaifan keluarga itu mendapat perhatian Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Dalam Program Ziarah Kasih Bertemu Mata dan Bertanya Khabar, Mahfuz berkata pihaknya memberi jaminan akan menanggung segala kos penyambungan air dan elektrik untuk keluarga tersebut.

Menurutnya, sudah lapan tahun Shahdan dan tiga anaknya hidup dengan menumpang ehsan jiran terdekat untuk mendapatkan bekalan air dan elektrik, oleh kerana dia hanya mengambil upah bekerja sebagai penoreh getah.

“Encik Shahdan hanya tinggal bersama tiga orang anak. Dua orang anaknya sudah bekerja bagi membantu ayah mereka manakala seorang masih bersekolah menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jabi.

“Dia juga hanya ambil upah menoreh sehingga tak mampu tampung biayai bil elektrik dan air yang jika dicampur sebulan, tak sampai RM50.

“Saya dan Parlimen Pokok Sena akan bagi komitmen dari segi nak sambung balik kemudahan bekalan air dan elektrik yang diperlukan. Apa-apa sambungan akan ditanggung.

“Bil tiap-tiap bulan pula anak-anak ini akan ambil tanggungjawab bantu ayah mereka,” katanya ketika ziarah di salah sebuah Kampung di Kedah.

Sementara itu, Mahfuz yang juga bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, beliau telah memohon kepada pegawainya untuk berurusan dengan tempat-tempat pengajian kemahiran bagi membantu anak-anak Shahdan menyambung pelajaran dalam bidang kemahiran bagi meningkatkan lagi kehidupan keluarga tersebut.