Malaysia Dateline

Selepas Selangor, Sultan Johor pula kecewa vaksin lambat

Selepas Sultan Selangor, Sultan Johor pula menzahirkan kekecewaan proses pemberian vaksin di negeri masing-masing rendah dan perlahan apabila hanya 10 peratus daripada 3.78 juta populasinya sudah disuntik.

Sehubungan itu, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan supaya kerajaan pusat segera meningkatkan lagi bekalan vaksin Covid-19 serta kadar vaksinasi termasuk di Johor.

“Kadar pemberian vaksin masih rendah dan perlu dipertingkatkan dengan segera.

“Saya menyeru kerajaan pusat supaya mempertingkatkan jumlah bekalan vaksin kepada Johor,” titahnya dalam kenyataan kepada Pejabat Media Diraja Johor semalam.

Pada 8 Jun lalu Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa terkejut dan kecewa apabila mendapat tahu hanya 615,210 dos vaksin Covid-19 diberikan kepada negeri itu dan bukan 2.9 juta seperti didakwa sebelumnya.

Menurut Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani pada pandangan Sultan Sharafuddin peruntukan itu tidak adil kerana ia sama sekali tidak seimbang dengan populasi keseluruhan penduduk Selangor.