Malaysia Dateline

Selepas selipar dan jam tangan, kasut Annuar pula jadi perhatian

Perkongsian gambar Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa ketika melihat matahari terbit pagi tadi menarik perhatian orang ramai sehingga kepada kasut yang dipakainya.

Salah satu daripada empat gambar di pantai Teluk Cempedak, Kuantan itu memperlihatkan Menteri Wilayah Persekutuan tersebut sedang melangkah bersama tongkatnya dengan mengenakan kasut berwarna jingga cerah.

Penolong Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Dr Ong Kian Ming dalam ciapan di Twitter menganggap warna kasut tersebut sebagai ‘sungguh menarik’.

“Sentiasa stylo mylo Tan Sri (Annuar Musa). Pakai kasut jenama apa, ya? Warna sungguh menarik…,” kata Ahli Parlimen Bangi itu.

Pada Mac lalu, selipar dikenakan Annuar dalam gambar pertemuannya dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga menarik perhatian warganet.

Tular di media sosial apabila carian yang dibuat oleh warganet mendapati harga selipar Louis Vuitton dipakai Ahli Parlimen Ketereh itu bernilai RM4,650.

Aksi Annuar yang menggendong cucu kembarnya untuk ditahnik oleh Abdul Hadi itu juga menyerlahkan gaya hidup mewah pemimpin tinggi Umno tersebut melalui jam tangan yang dipakainya.

Mengikut carian warganet, harga jam tangan itu dikatakan mencecah hampir RM1.3 juta.