Malaysia Dateline

Selepas setahun, Hasnul mohon maaf secara terbuka kepada AMANAH

Selepas setahun melompat meninggalkan rakan-rakannya dan menyertai parti lain, bekas Ketua Pemuda AMANAH, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim tampil memohon maaf secara terbuka kepada pimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Hasnul yang juga  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong itu meninggalkan AMANAH dan menyertai Bersatu pada Mac tahun lalu itu berbuat demikian dalam program bual bicara secara langsung menerusi Facebook Anjung Rakyat Progresif malam tadi.

“Saya dengan hati yang penuh tulus ikhlas mengambil kesempatan memohon maaf kepada rakan-rakan di luar sana di atas kekhilafan dan kelemahan saya yang menyebabkan saya terpaksa memilih jalan yang memberi tohmahan yang sangat besar kepada saya dan saya terima dengan sebaiknya.

“Saya memohon maaf secara peribadi dan inilah pertama kali saya memohon maaf secara terbuka kepada rakan-rakan di luar, rakan-rakan dalam parti lama (AMANAH), pimpinan parti (AMANAH) negeri dan nasional yang memberi kepercayaan, saya memohon maaf sekali lagi,” katanya.

Untuk rekod, Hasnul yang juga bekas Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak dipecat daripada Bersatu pada Disember 2020.

Pemecatan itu berlaku selepas beliau menandatangani akuan bersumpah menyokong Datuk Saarani Mohamad daripada Umno sebagai Menteri Besar, menggantikan Ahmad Faizal Azumu.

Tindakan Hasnul lari meninggalkan AMANAH setahun lalu telah memberikan nama yang sangat buruk kepada parti itu ketika rakyat menyanjungnya kerana disiplin ahli dan pemimpinnya.

Harapan yang tinggi juga diberikan kepada Hasnul sebelum itu yang hanya pimpinan pemuda biasa di Perak tetapi telah dipilih sebagai Ketua Pemuda AMANAH Nasional sebelum itu.