Malaysia Dateline

Selepas setahun khianati PH, Azmin ‘insafi amanah’ pentadbiran kerajaan PN

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan kesyukurannya apabila kepimpinan negara dapat diharungi dengan tenang dan sabar.

Pengarah Pilihan Raya PN yang juga bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, banyak cabaran yang mendatang sejak setahun berkuasa.

“Sebentar tadi bersama YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri menginsafi amanah selama satu tahun pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional dengan Majlis Solat Hajat di Masjid Putra, Putrajaya,” katanya di Facebooknya malam ini.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak itu berkata manusia berusaha, namun ketentuan di tangan Ilahi.

“Sempena satu tahun Kerajaan Perikatan Nasional kami memohon petunjuk dan kekuatan untuk meneruskan khidmat bakti kepada rakyat.

“Juga bermunajat supaya khidmat kepada rakyat mendapat keberkatan-Nya,” ujar Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu lagi.

Azmin telah dilabel penyokong Pakatan Harapan (PH) sebagai pengkhianat apabila dianggap sebagai antara dalang utama tumbangnya 22 bulan pentadbiran kerajaan PH.

Rampasan kuasa yang digelar Langkah Sheraton itu berjaya dilakukan kerana kumpulan Muhyiddin dari Bersatu dan kumpulan Azmin membawa keluar 31 kerusi Parlimen dari PH.

Mereka berpakat dengan Umno yang mempunyai 39 kerusi atau 42 jika ditambah sekutu bukan Melayu mereka, MCA dan MIC.

Kerajaan ‘tebuk atap’ PN juga terbentuk apabila Pas dengan 18 kerusi turut bersekongkol serta disokong sama Gabungan Parti Sarawak atau GPS (18 kerusi) serta beberapa ahli Parlimen dari Sabah.

Muhyiddin kemudiannya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac tahun lalu.

Terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 24 Februari tahun lalu.

Menteri PN mengadakan majlis Solat Hajat di Masjid Putra, Putrajaya malam ini.