Malaysia Dateline

Selepas setahun Veveonah panjat pokok, kerajaan masih “akan turun padang”

Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyelar kelembapan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung langkah mengatasi masalah pelaksanaan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Melabelkan kerajaan PN semakin ‘ke laut’ atau jauh tersasar, beliau mempersoal usaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang baharu menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bersama Telekom Malaysia Bhd (TM) untuk mengenal pasti kawasan tiada liputan internet atau capaian lemah.

Kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin pada 27 Jun lalu berlaku selepas lebih setahun pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin memanjat pokok demi mendapatkan talian Internet untuk menduduki peperiksaan dalam talian.

Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno turut menempelak Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin sama ada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu tahu ada ratusan pelajar di kawasan pedalaman terpaksa merempuh perjalanan jauh demi mengikuti pengajian secara dalam talian.

“Baru tubuh jawatankuasa? Memang mengarut. Masa laksana PdPR dulu, KPM dan KKMM memang tidak bincang ke?

“Dulu tular video Veveonah Mosibin dari UMS yang panjat pokok di Pitas untuk dapatkan talian internet. Dia mahu ambil peperiksaan. Sudah setahun berlalu.

“PM 8 tahu ke ada pelajar redah puncak bukit sejauh 5 km untuk belajar dalam talian?” bidasnya hari ini.

Untuk rekod, kira-kira 400 pelajar dan penuntut universiti membabitkan lima kampung di Mukim Mambong, di Kuala Krai terpaksa menempuh perjalanan lima kilometer ke puncak bukit Kampung Bahagia, demi mendapatkan capaian internet.

Mereka ada dihantar oleh keluarga atau menunggang motosikal sendiri selama 15 minit untuk ke kawasan yang merupakan satu-satunya lokasi boleh mengakses capaian internet.

Daripada jumlah itu, 200 pelajar dan penuntut universiti dari Kampung Bahagia, manakala selebihnya dari kampung Sungai Rimau, Raba, Mambong dan Johol, lapor BH.

Kelmarin, Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar berkata, menerusi jawatankuasa khas itu, pihaknya akan turun padang untuk melihat dan memantau sendiri kawasan tiada liputan atau capaian internet rendah serta mengambil langkah segera mengatasinya.

Wakil rakyat Umno itu berkata, jawatankuasa terbabit diharap dapat mengatasi masalah tiada capaian internet atau capaian lemah bukan saja di kawasan luar bandar atau jauh di pedalaman, tetapi juga di tempat keselamatan seperti balai polis atau kem tentera.

Sehubungan itu, Puad mengulangi persoalan bagaimana kerajaan khususnya KKMM masih menyatakan “akan turun padang” selepas lebih setahun pelaksanaan PdPR.

“Baru nak turun padang? Kes Veveonah dulu tidak turun padang ke? Kerajaan PN semakin ke laut nampaknya,” tegas bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu lagi.