Malaysia Dateline

Selepas Shazni, tumpuan kini kepada Siti Sarah

Selepas Ketua Pemuda AMANAH, kini penyanyi Siti Sarah pula menjadi tumpuan dalam perjuangan umat manusia melawan Covid-19 di Malaysia.

Semalam Siti Sarah selamat melahirkan bayi lelaki melalui pembedahan namun sehingga kini beliau masih belum sedarkan diri dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital UKM (HUKM).

“Untuk makluman Sarah melahirkan bayi lelaki kira-kira pukul 5 petang tadi (semalam). Walau bagaimanapun keadaan Sarah masih belum sedar.

“Mohon doa semua untuk dipermudahkan segala urusan,” kata pengurus Siti Sarah, Nana Mohamad sebagaimana yang dilaporkan oleh Utusan TV.

Siti Sarah yang sarat hamil lapan bulan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HUKM berikutan paras oksigen dalam badannya merosot.

Sekitar pukul 2 petang semalam, Siti Sarah dijadualkan menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungannya.

Ketua Pemuda AMANAH yang juga Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Shazni Munir Mohd Ithnin meninggal dunia di Hospital Melaka tengahari semalam selepas kira-kira sebulan melawan Covid-19.

Shazni meninggal ketika umurnya baru 34 tahun.

SUAMI YAKIN SITI SARAH KEMBALI SIHAT

Sementara itu, suami Siti Sarah, pelawak Shuib pula yakin isterinya akan kembali sihat kerana dia seorang yang kuat.

Beliau memohon agar semua pihak memaafkan Siti Sarah jika beliau ada membuat apa-apa kesalahan.

“10 tahun kenal Sarah, dialah yang mendewasakan saya. Kejayaan saya juga kerana doa dia. Saya mohon maafkan segala salah dan silapnya. Halalkan makan minumnya.

“Insya-Allah. Saya yakin dia akan balik…saya yakin dia akan sihat.

“Semoga dengan memaafkan dia ini akan memudahkan perjalanannya. Saya sangat berlapang dada untuk malam ini untuk segala doa,” ujarnya sebagaimana dilaporkan UtusanTV.