Malaysia Dateline

Selepas sudah semak, anggap mahu ambil nama, Zahidi mohon maaf kepada Veveonah

Selepas yakin kononnya sudah melakukan semakan dan menuduh pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin sekadar menaikkan ‘viewer’ rancangan YouTube, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia akhirnya tampil memohon maaf.

Dalam kenyataan media ringkas tiga perenggan malam ini, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang juga Ahli Parlimen Padang Besar mengakui dia mendapat maklumat tidak tepat ketika menjawab soalan tambahan dalam perbahasan di Dewan Negara hari ini.

“Merujuk kepada perbahasan di Dewan Negara hari ini, saya ingin membetulkan kenyataan mengenai adik Veveonah Mosibin tidak menjalani sebarang peperiksaan ketika video beliau belajar di atas pokok tular di media sosial.

“Saya telah mendapat maklumat yang tidak tepat dalam menjawab soalan tambahan. Saya ingin memohon maaf kepada adik Veveonah Mosibin dan juga akan membuat pembetulan di Dewan Negara Isnin (10 September) nanti.

“Semoga adik Veveonah Mosibin terus maju jaya dalam setiap bidang yang diceburi,” kata bekas Ketua Umno Padang Besar itu.

Terdahulu, Zahidi, 59, yang merupakan lulusan Diploma Pentadbiran Awam, Institut Tekonolgi Mara (kini Universiti Teknologi Mara) berkata, hasil siasatan kementeriannya mendapati Veveonah yang juga merupakan seorang Youtuber, sebenarnya tidak menduduki peperiksaan ketika video tular itu dirakam.

“Kita dah semak dah. Dia hanya Youtuber untuk ambil nama, dia terkenal sekejap dan dia buat hanya untuk hiburan.

“Ini perbuatan yang kadang-kadang kita tertipu dan kadang-kadang kita sebagai Yang Berhormat jangan mudah tertipu dengan Youtuber untuk membuat isu,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara hari ini.

Zahidi berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Donald Peter Mojuntin yang bertanyakan tindakan kerajaan bagi memastikan keseimbangan capaian internet antara bandar dan luar bandar serta mengaitkan isu video tular Veveonah dengan perkara itu.

Sehubungan itu, Zahidi meminta semua wakil rakyat di kawasan tidak ada liputan atau berada di lokasi titik buta untuk memaklumkan permasalahan itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi penyelesaian segera.

“Jadi, kita minta Yang Berhormat di kawasan yang tidak ada line atau blind spot (titik buta), maklumkan pada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan kita akan segera atasi masalah tersebut terutamanya dari segi pendidikan,” katanya.

Tiga tahun lalu, Zahidi mendakwa banjir besar yang melanda utara Semenanjung Malaysia kemungkinan adalah karma iaitu balasan tuhan.