Malaysia Dateline

Selepas tegur tunggang motor secara bahaya, pengawal keselamatan diserang tiga lelaki bersenjata

Hanya kerana menegur menunggang motor secara bahaya dalam kawasan pembinaan, seorang pengawal keselamatan diserang hingga cedera di kepala dan tangan kiri.

Serangan tiga lelaki bersenjata parang yang tidak dikenali itu berlaku di Tapak Projek Perumahan Seira 4 Bukit Banyan, di Sungai Petani, semalam.

Mangsa, Ismail Ahmad, 58, bagaimanapun dilapor dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu pada pukul 4.15 petang.

Hasil temu bual bersama mangsa, jelasnya, mendapati kejadian berlaku ketika mangsa sedang bertugas di pos pengawal tapak projek Siera 4 Bukit Banyan.

Lapor Utusan Online, mangsa telah diserang dengan parang oleh tiga lelaki yang tidak dikenali selepas dia bertindak menegur salah seorang daripada mereka kerana menunggang motosikal secara bahaya dalam kawasan pembinaan tersebut.

Susulan kejadian itu, polis menangkap dua suspek lelaki berusia 37 dan 41 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan manakala seorang lagi suspek masih diburu.

Jelasnya, hasil semakan polis mendapati suspek yang berusia 37 tahun mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan dan penyalahgunaan dadah manakala seorang lagi suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Baca juga Jangan terkejut ada suami kerap diterajang isteri, ini patut mangsa dera buat