Malaysia Dateline

Selepas tembak Pas, Pemuda MCA U-turn

Selepas mengecam pemimpin Pas, Siti Zailah Mohd Yusoff tidak layak sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Pemuda MCA kemudiannya membuat pusingan U.

Ketua Pemuda MCA Nicole Wong memohon maaf atas kecamannya petang semalam susulan nasihat Ahli Parlimen Rantau Panjang itu tentang isu hubungan rumah tangga.

Nicole turut menyifatkan laporan Malaysiakini, “SIS: Underlying tone in Siti Zailah’s ‘advisory’ video wrong” yang menjadi sandarannya sebelum ini berbeza dengan rakaman video “Rumah Tangga Bahagia Fasa PKP” oleh Siti Zailah.

Dalam kenyataannya malam tadi, Nicole kemudiannya menyatakan tidak lagi bersependapat dengan Malaysiakini bahawa kenyataan-kenyataan Siti Zailah adalah tidak sesuai.

“Dalam video tersebut, YB Siti hanya memberikan nasihat umum dan holistik mengenai bagaimana untuk menguruskan konflik rumah tangga semasa PKP.

“Dalam video yang sama, beliau juga menggesa mangsa keganasan rumah tangga untuk meminta bantuan, melalui helpline yang dikendalikan oleh kementerian.

“Beliau juga menjelaskan bahawa semua aduan yang diterima buat masa ini telah pun diselesaikan.

“Oleh yang demikian, saya dengan rendah diri ingin memohon maaf kepada YB Siti Zailah.

“Saya telah melakukan kesilapan dalam membuat penilaian dengan terlalu cepat dan hanya berdasarkan satu sumber,” ujarnya.

Nicole juga menjelaskan kesalahan tersebut adalah kesalahannya seorang sahaja dan tidak melibatkan pendirian MCA.

Kelmarin, Siti Zailah memuat naik rakaman video di media sosial dan mengakui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh memberi tekanan kepada keluarga, yang akhirnya menyebabkan masalah keganasan rumah tangga.

Dalam video berdurasi lima minit itu, beliau turut memberikan tiga panduan untuk meredakan tekanan, termasuk sifat menghargai pasangan, memberi kemaafan dan ketaatan kepada agama.

Mangsa keganasan rumah tangga, nasihatnya lagi, perlu menghubungi hotline Talian Kasih kendalian kementeriannya untuk mendapatkan bantuan.

Walau bagaimanapun, Sister in Islam (SIS) menganggap nasihat Siti Zailah sebagai tidak boleh diterima.

Menurut NGO itu, Siti Zailah dan KPWKM wajar lebih jelas dalam menyampaikan mesej berkenaan perlindungan wanita dan kanak-kanak daripada keganasan rumah tangga.

“Siti Zailah perlu menjadikan video Ketua Pengarah Kehakiman Syariah Mohd Na’im Mokhtar berkenaan cara mengendalikan keganasan rumah tangga ketika PKP sebagai contoh.

“Dalam video itu, Mohd Na’im menasihati wanita agar melindungi diri dan anak-anak dengan tidak menjadikan diri sebagai punching bag dan agar ada keberanian untuk meninggalkan rumah jika didera.

“Beliau juga menyebut bahawa wanita tidak akan digelar nusyuz jika meninggalkan rumah dan suami yang mendera, dan kita semua ada tanggungjawab untuk menjaga tubuh kita daripada bahaya,” kata SIS lagi.