Malaysia Dateline

Selepas teruk dikecam JKOM-PN, giliran Najib persoal Muhyiddin

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memulangkan paku buah keras kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa tidak memakai pelitup muka semasa menghadiri mesyuarar Bersatu di Johor baru-baru ini.

Najib menerusi hantaran Facebooknya semalam, mempersoalkan mengapa Perdana Menteri itu tidak memakai pelitup muka walhal ianya adalah wajib walaupun sudah mengambil suntikan vaksin.

Beliau membangkitkan semula apa yang terjadi sebelum ini apabila dia sendiri terlupa untuk mengimbas MySejahtera ketika makan di sebuah kedai nasi ayam.

Beliau mendakwa ketika itu jabatan propaganda kerajaan yang dikenali sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) begitu hebat memuatnaik sehingga enam hantaran tentang isu sama hanya kerana mahu menghentam dirinya.

“Hari itu kecoh satu negara sebab tular video saya lupa scan (imbas) MySejahtera semasa masuk kedai nasi ayam walaupun saya pakai mask.

“Page-page (laman) pro-PN Jkom buat 6 posting tentang isu sama untuk kecam saya. Semua media dikawal kerajaan juga membuat laporan berita berkenaan saya langgar SOP.

“Hari ini pula tular gambar PM8 langgar SOP sebab tak pakai mask di Hotel Zenith, Johor pada 31 Mac 2021. Dia ada scan MySejahtera juga tak?,” soalnya.

Terdahulu, beberapa portal berita yang melaporkan kehadiran Presiden Bersatu itu di Johor, memaparkan kelibatnya yang tidak memakai pelitup muka.

Justeru Najib berkata, setahunya individu yang sudah diberi vaksin masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 seperti yang ditegaskan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Khairy sebelum ini berkata, individu yang sudah mendapatkan pelalian Covid-19 termasuk dos kedua, masih perlu mengamalkan semua kaedah pencegahan wabak berkenaan.

Najib kemudian mempersoalkan sekiranya Ahli Parlimen Pagoh itu akan disiasat atau tidak kerana melanggar SOP.