Malaysia Dateline

Selepas tiga bulan program vaksinasi, lebih 5,000 petugas media akan dicucuk

Hanya selepas berlalunya tiga bulan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), lebih 5,000 petugas media daripada 144 agensi media yang berdaftar di negara ini bakal mendapatkan pelalian wabak tersebut.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) berkata, pihaknya akan memberi janji temu kepada golongan terbabit dalam masa terdekat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata setakat ini pihaknya menerima sejumlah 5,867 nama petugas media.

“CITF buat keputusan untuk kita beri janji temu pengamal media secepat mungkin selepas terima butiran.

“Ini adalah selari (keputusan) untuk melindungi mereka di barisan hadapan dengan mendahulukan guru dan pengamal media,” katanya pada sidang media CITF, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Sebelum ini kerajaan bersetuju meletakkan pengamal media dalam senarai keutamaan menerima vaksin Covid-19, tertakluk kepada bekalan vaksin.

Susulan itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pada 28 April lalu, berkata, petugas media akan menerima vaksin Covid-19 pada bulan Mei.

Sejumlah petugas media daripada pelbagai agensi telah dijangkiti Covid-19 terutama sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu ekoran membuat liputan di sana.

Golongan yang perlu ‘turun padang’ untuk mendapatkan bahan berita selain bersemuka dengan orang ramai itu antara yang mengisi jumlah 518,600 kes positif Covid-19 di negara ini setakat semalam.