Malaysia Dateline

Selepas tiga hari nikah, Neelofa dan suami beri keterangan polis esok

Selepas tiga hari menikmati alam rumah tangga, selebriti Neelofa dan suaminya akan memberi keterangan esok berhubung majlis perkahwinan mereka yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga memanggil keluarga dan penganjur majlis bertemakan Jabal Rahmah serba putih dengan dihadiri 200 tetamu itu untuk diambil keterangan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata penganjur majlis sepatutnya hadir memberi keterangan pada hari ini, tetapi ditangguhkan esok.

“Justeru, mereka (penganjur) bersama keluarga Neelofa, termasuk Neelofa sendiri dan suaminya akan hadir memberi keterangan,” lapor BH hari ini.

Kelmarin, Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 32, sah menjadi isteri kepada pendakwah bebas, Haris Ismail atau PU Riz, 26, dengan sekali lafaz di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur.

Menteri Agama yang juga bekas pesakit Covid-19 hadir memberikan khutbah kepada pasangan pengantin.

 

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut hadir memberikan khutbah dan tazkirah ringkas kepada pasangan yang dinikahkan oleh adik kandung Neelofa, Mohd Aqief Mohd Noor.

Memberitahu lebih lanjut, Mohamad Zainal berkata, polis sudah mengambil keterangan beberapa saksi termasuk pengurus hotel berhubung majlis yang menjadi bualan dalam kalangan warganet itu.

Semalam, Mohamad Zainal memberitahu siasatan pihaknya mendapati majlis pernikahan pasangan yang berlangsung itu gagal mematuhi SOP ditetapkan dan tiada penjarakan fizikal.

“Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Tular di media sosial beberapa gambar yang menunjukkan jemputan yang hadir tidak mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Mereka dilihat duduk berhimpit bahkan terdapat gambar yang dimuat naik Neelofa sendiri di Instagram menunjukkan “orang-orang kuat Haris” seperti ditulis selebriti itu berkumpul rapat tanpa memakai pelitup muka.

Untuk foto itu sahaja, 10 individu berkopiah putih dan berpakaian sedondon itu dilihat seronok bergambar bersama pasangan pengantin walaupun awal bulan lalu seramai 19 orang termasuk pasangan pengantin di Taman Nilam, Langkawi ditahan polis serta merta kerana didapati melanggar SOP PKP.